Semasa

20 individu termasuk `mat rempit’, penagih dadah ditahan merusuh

Halangan pengguna jalan raya lain, bakar suar & mercun, naikkan kain rentang hina kerajaan

JOHOR BAHRU:  Polis menahan 20 individu kerana dipercayai terbabit dalam rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 16 dan 28 tahun.

Katanya, mereka adalah penduduk setempat ditahan dalam Operasi Khas bermula pukul 11 malam tadi di sekitar Batu Pahat.

 

“Operasi Khas ini bagi mengesan dan menahan mereka yang terbabit dalam kejadian merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja. Kesemua suspek adalah penduduk setempat dan tiada rekod jenayah sebelum ini. Semua direman empat hari sehingga 17 Mei ini,” – Ketua Polis Daerah Batu Pahat / ACP Ismail Dollah

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di pekan Parit Raja kira-kira jam 2:00 pagi.

Menurut ACP Ismail, dianggarkan 40 orang terlibat membuat halangan dengan menggunakan motosikal dan kereta terhadap pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

“Tunjuk perasaan itu berlaku hampir 15 minit bagi menarik perhatian orang ramai selain memasang kain rentang yang menyatakan bantahan kepada kerajaan serta membakar suar.  Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan Parit Raja sejurus selepas kejadian,” – Ketua Polis Daerah Batu Pahat / ACP Ismail Dollah

Katanya, polis juga merampas kain rentang, sisa-sisa pembakaran suar dan mercun di tempat kejadian.

Kumpulan ini menyalakan suar dan menghalang laluan orang ramai berkenderaan.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Related Articles

Back to top button