PUTRAJAYA : Tindakan yang dilaksanakan selama lebih dua minggu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengimbangi antara sektor kesihatan dan ekonomi telah berjaya menunjukkan hasil yang positif dengan penurunan kes-kes kebolehjangkitan iaitu R-naught (R0) kurang daripada 1.0.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil usaha tersebut adalah dengan membenarkan sektor ekonomi untuk berfungsi tetapi memperlahankan atau menangguhkan aktiviti sektor sosial, pendidikan dan sukan di kawasan zon merah.
“Jika kita mengguna R0 1.0, sepatutnya semalam dan hari ini kita mendapat kes yang dilaporkan sebanyak 950 tetapi kita dapati ia kurang dari 950 iaitu 799 semalam dan 659 kes pada Sabtu (31/10)”
“Ini bererti jika kita mengikut unjuran R0 1.0 kita adalah kurang dari R0 1.0,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19
Noor Hisham berkata dalam tempoh dua minggu ini, KKM akan mempergiatkan aktiviti dan pengurusan pesakit COVID-19 dan tindakan aktiviti di lapangan bagi membendung penularan serta memutuskan rantaian jangkitan wabak itu, di dalam negara.
“Kita juga perlu kerjasama dari rakyat Malaysia untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan paling penting duduk di rumah. Jika kalau terpaksa keluar rumah, sila patuh kepada SOP,” katanya.
Jelasnya, perkara itu tidak mustahil kerana di Kedah sebelum ini terdapat peningkatan kes yang tinggi dengan wujudnya banyak kluster dan hari ini hanya dua kes dilaporkan di negeri itu.
Tegasnya, itu adalah hasil tindakan kesihatan awam dan saringan yang tertumpu pada kawasan dan zon yang disyaki serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran.
— BERNAMA