Dalam tempoh 24jam – 189 Kes Kematian Akibat COVID-19 jadikan 1,000 Nyawa Terkorban Di Italy
Kerajaan Italy mengeluarkan perintah berkurung serta-merta di seluruh negara
Seluruh Italy hari ini dikejutkan dengan kadar kematian tertinggi dalam tempoh tersingkat apabila Agensi Perlindungan Awam negara terbabit mengesahkan penambahan sebanyak 23% kematian hanya dalam tempoh 24 jam. Ianya menjadikan jumlah nyawa yang terkorban akibat COVID-19 di negara itu sebanyak 1,016.
Terdahulu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengishtiharkan wabak coronavirus ini sebagai pandemik setelah lebih 120 buah negara terjejas dengan 134,930 kes telah disahkan positif. Ia justeru menyeru agar semua negara mengambil langkah yang efisien berkaitan sistem pengurusan kesihatan dan juga ekonomi yang dilihat bakal terjejas teruk akibat penularan yang dijangka tidak akan reda dalam waktu terdekat.
Dalam perintah berkurung di Italy, kesemua perjalanan dan perhimpunan awam turut dilarang menyebabkan bandar-bandar besar yang sibuk dengan aktiviti perlancongan sebelum ini menjadi sunyi sepi walaupun sekolah dan institusi telahpun ditutup bagi membendung penularan wabak tersebut.
Dalam satu kenyataan Perdana Menteri Italy Giuseppe Conte berkata semua kedai diarahkan ditutup kecuali pasaraya, kedai makanan dan ubat-ubatan manakala syarikat diminta untuk menghentikan operasi unit dan jabatan yang tidak penting. Beliau menyarankan agar rakyatnya untuk berada di rumah bagi mengelakkan penyebaran jangkitan dan meminta agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu wabak ini.
Terima kasih kepada semua orang Itali yang membuat pengorbanan. Kita akan buktikan (ini) adalah negara yang hebat. Kami akan dapat melihat kesan usaha hebat ini dalam beberapa minggu. Negara memerlukan tanggungjawab dari kita semua, tanggung jawab 60 juta rakyat Itali yang membuat pengorbanan kecil dan besar setiap hari.
– Giuseppe Conte, Perdana Menteri Italy
Warga emas dicatatkan sebagai golongan yang paling berisiko tinggi untuk terdedah kepada virus ini dan Itali mempunyai populasi tertua di Eropah dengan hampir seperempat rakyatnya berusia 65 tahun ke atas. Rakyatnya kini dilihat sering mengekalkan jarak supaya sekurang-kurangnya satu meter (tiga kaki) dari satu sama lain dan mengelak dari berjabat tangan ketika berurusan sebagai langkah berjaga-jaga.