Semasa

16 pesawat China lalu ruang udara negara

Ancam kedaulatan negara, TUDM lancar pesawat pemintas

PETALING JAYA : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan bahawa pihaknya telah mengesan penerbangan mencurigakan iaitu sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi waktu tempatan.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,”-

Beliau dalam satu kenyataan kepada media berkata,  pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura Flight Information Region (FIR) sebelum memasuki ruang udara negara serta Kota Kinabalu FIR.

 

“Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

“Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” katanya.

Tambahnya lagi, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu.

Katanya, apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan (Airways) di Kota Kinabalu,” –

Tan Sri Ackbal juga memaklumkan bahawa insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” katanya.

Related Articles

Back to top button