Covid19Semasa

16 kluster Covid-19 libatkan jemaah umrah dikesan – KKM

KUALA LUMPUR : Sebanyak 16 kluster Covid-19 dikesan dalam tempoh 25 November lalu sehingga ke hari ini melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dengan tujuh kluster daripadanya disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Menurutnya, ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketika melaksanakan umrah seperti tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia adalah punca penularan.

“Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

“Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

Mengulas lanjut, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

– Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button