DuniaSemasa

15 penunjuk perasaan maut ditembak tentera Sudan

KHARTOUM : 15 penunjuk perasaan yang protes terhadap antirampasan kuasa di Khartoum maut ditembak oleh pasukan keselamatan Sudan, sekali gus menjadikan ia tragedi paling ramai terbunuh sejak pengambilalihan kuasa pada 25 Oktober lalu.

Angka kematian itu menyebabkan jumlah keseluruhan yang terbunuh meningkat kepada 39 orang sejak pihak tentera melakukan rampasan kuasa, manakala ratusan orang yang lain pula tercedera.

Susulan itu, kejadian berdarah tersebut menguatkan lagi slogan Persatuan Profesional Sudan (SPA) yang tidak mahu mengadakan rundingan, kerjasama atau tolak ansur dengan pihak tentera.

Menurut laporan AFP, gangguan talian telefon dan perkhidmatan internet yang dialami sejak pihak tentera mengambil alih tampuk pemerintahan tidak menghalang para penunjuk perasaan berhimpun di jalanan di Khartoum.

Rampasan kuasa itu sekali gus menghalang peralihan demokratik kepada sebuah kerajaan awam setelah tersingkirnya Omar al-Bashir daripada jawatan Presiden Sudan selepas berkuasa selama hampir tiga dekad yang kemudian ditangkap pihak tentera.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button