YANGON : Sekurang-kurangnya 15 orang lemas dalam cubaan untuk sampai ke sebuah kuil Buddha selepas menyeberangi tambak yang ditenggelami air di Myanmar.
Pegawai tempatan berkata, tambak selebar empat meter itu tidak ditandakan dengan jelas telah menjadi punca ada antara mangsa terkorban ketika cuba menyeberangi lalu ditenggelami air.
“Kami biasanya membenarkan orang ramai datang pada jam 6.30 pagi tetapi mereka mengabaikannya dan cuba menyeberang terlalu awal,” kata pegawai tempatan, Nai Sahai Eain kepada AFP.
Lebih banyak lagi individu lemas selepas itu apabila mereka bersesak dari laluan pejalan kaki yang dipenuhi orang ramai, untuk menuju ke laut.
Anggota kecemasan dari Thanbyuzayat, Ko Kyaw Thu, memberitahu AFP bahawa 15 mayat sudah dibawa ke hospital dan tiga individu masih hilang.
Tragedi itu berlaku ketika ribuan penganut Buddha sedang menuju ke kuil Pagoda Kyeik Hne, yang terletak di atas singkapan berbatu sekitar tiga kilometer dari pantai berhampiran bandar Thanbyuzayat di selatan negeri Mon.
Penduduk tempatan, Nai Wona, memberitahu AFP bahawa tambak itu tidak ditandakan dengan cukup jelas, sekali gus menyukarkan orang ramai menyeberanginya.
– AFP
Oleh Hafeez Anuar