14 individu disyaki tipu kutip sumbangan anak yatim dan OKU
GOMBAK : 14 orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan kutipan sumbangan dalam talian yang menyamar sebagai pusat kebajikan anak yatim dan orang cacat (OKU).
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, teknik menggunakan nama pusat kebajikan itu adalah untuk menagih simpati orang ramai sekali gus memudahkan penipuan.
“Sindiket itu mengambil langkah menghubungi mangsa bagi mengutip derma untuk anak yatim, madrasah, dan OKU untuk tabung kebajikan,” katanya.
“Mangsa yang rasa bersimpati akan memasukkan wang ke dalam akaun bank dipercayai menggunakan keldai akaun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.
Menurut Mazlan, siasatan awal mendapati sindiket itu menyediakan skrip perbincangan sebelum menghubungi mangsa.
“Mereka nampaknya memperkenalkanya diri mereka dari pelbagai pusat bantuan untuk mendapatkan wang. Sindiket itu masih kuat sehingga kini.
“Kes disiasat kerana menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Mazlan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membuat pengesahan terlebih dahulu dengan polis sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Mengulas jenayah indeks di Gombak, Mazlan berkata, sebanyak 2,107 kes jenayah direkodkan pada 2020, berbanding 2,429 kes 2019.
“Sejak dua tahun lalu, kita dapat mengurangkan kes jenayah di Gombak.
“Sebanyak 1,726 kes jenayah didaftarkan sejak awal tahun ini sehingga Selasa lepas dan kita jangka kes jenayah di Gombak akan terus menurun,” katanya lagi.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM