Keengganan Israel membenarkan bahan api dihantar ke Gaza mengancam nyawa 130 bayi pramatang di hospital-hospital di situ, kata pihak berkuasa tempatan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, “130 bayi pramatang di Semenanjung Gaza menghadapi risiko kematian akibat israel menghalang penghantaran bahan api yang diperlukan untuk membekalkan elektrik di hospital.”
Merujuk pada kekurangan bahan api, kementerian itu memaklumkan tentang kesukaran dalam menghidupkan penjana elektrik di rantau itu, yang telah dua minggu dihentam bom dan sekatan yang ketat oleh Israel.
Jurucakap Tentera Israel Avichay Adraee mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa bahan api tidak akan dibenarkan memasuki Gaza.
“Jika bahan api tidak dihantar segera ke hospital di Semenanjung Gaza, ia akan menimbulkan bahaya serius kepada mereka yang cedera dan pesakit,” Kementerian Kesihatan Gaza sebelum ini memberi amaran.
Sekurang-kurangnya 4,385 rakyat Palestin, termasuk 1,756 kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, manakala angka itu berjumlah lebih 1,400 orang di Israel.