DomestikSemasa

13 negeri dan Wilayah Persekutuan seragam kadar zakat fitrah RM7

PUTRAJAYA: Buat pertama kalinya, kadar paling rendah zakat fitrah yang seragam iaitu RM7 seorang yang ditetapkan kepada semua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Ia berikutan Perlis muncul menjadi negeri terakhir yang mengesahkan kadar zakat tersebut untuk negeri berkenaan sepanjang Ramadan kali ini kekal seperti tahun-tahun sebelumnya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan penetapan kadar itu menerusi kenyataan rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, semalam.

Sementara itu, pada 2020 dan 2021 Wilayah Persekutuan telah memansuhkan kadar minimum RM5 yang dilaksanakan pada tahun tersebut dan turut menetapkan had lantai zakat itu kepada RM7.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad telah memaklumkan perkara tersebut di dalam program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan di Putrajaya semalam.

Malahan, umat Islam di tiga wilayah tersebut yang berkemampuan, juga digalakkan membayar zakat fitrah kadar maksimum RM21 selain RM14 berdasarkan jenis gred beras dimakan.

Lima negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Melaka, Perak dan Selangor turut menetapkan tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM14, dan RM21 mengikut gred beras masing-masing.

Sementara Negeri Sembilan juga ada tiga kadar namun had sederhana ditetapkan RM10 manakala Pulau Pinang pula mewartakan nisab sederhana ialah RM13 dan maksimum RM20.

Tahun lalu, umat Islam di Pulau Mutiara pun dikenakan tiga kadar iaitu RM7, RM12 dan RM21 namun pada 2020, Majlis Agama Islam Pulau Pinang menetapkan cuma RM7 dan RM16.

Johor pula kekal dengan dua kadar berbeza iaitu RM7 dan RM10, iaitu nisab zakat fitrah yang sama pernah dikenakan sejak 2019 lalu berbanding tahun sebelumnya hanya RM7 seorang.

Baki lima negeri lagi iaitu Pahang, Perlis, Terengganu, Sabah dan jirannya, Sarawak masih tidak berubah dengan cuma satu kadar tetap yang diwartakan masing-masing sebanyak RM7.

Pengiraan nisab zakat berdasarkan sukatan beras satu gantang Baghdad atau bersamaan harga semasa 2.7 kilogram beras yang diukur pihak berkuasa agama negeri.

Kelazimannya, ada negeri yang menilai kadar tersebut menerusi perbandingan beras super tempatan gred A bagi nisab RM7, manakala jenis mahal iaitu beras basmathi, merah, jepun.

Kadar zakat fitrah yang sederhana pula kebiasaannya melibatkan pemakanan harian beras jenis super import selain beras perang, beras pulut, beras wangi atau beras herba ponni.

Kadar zakat fitrah 1443H

Johor – RM7, RM10

Kedah – RM7, RM14, RM21

Kelantan – RM7, RM14, RM21

Melaka – RM7, RM14, RM21

Negeri Sembilan – RM7, RM10, RM21

Pahang – RM7,

Perak – RM7, RM14, RM21

Perlis – RM7,

Pulau Pinang – RM7, RM13, RM20

Selangor – RM7, RM14, RM21

Terengganu – RM7

Sabah – RM7

Sarawak – RM7

Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan)  – RM7, RM14, RM21

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button