Semasa

12 peratus daripada 463 kawasan terjejas bekalan air telah pulih

KUALA LUMPUR : 12 peratus daripada 463 kawasan terjejas di Lembah Klang telah pulih sehingga 7 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat di Selangor Water Management Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, dalam satu kenyataan menyatakan bahawa masa yang diambil untuk memulihkan bekalan air berbeza-beza berdasarkan lokasi dan jarak hartanah pengguna.

Beliau menyatakan peratusan pemulihan di daerah Hulu Langat dan Petaling masing-masing ialah 77.8% dan 7.6%.

“Pemulihan bekalan air mencatatkan sifar peratus di tiga daerah iaitu Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang,” katanya.

Beliau berkata air akan dihantar secara berperingkat ke semua lokasi terjejas dan dijangka pulih sepenuhnya pada 11:30 malam ini.

Disebabkan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih, LRA Sg Semenyih telah pun dihentikan.

Elina menyatakan, semasa gangguan bekalan air yang tidak dirancang ini, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus diberikan kepada pengguna dan premis utama di kawasan terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai dalam mematuhi peraturan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa menerima air daripada lori tangki,” tambahnya.

“Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas dengan melayari https://hentitugas.airselangor.com atau memuat turun aplikasi Air Selangor,” tambahnya.

Menurut Elina, Air Selangor akan memaklumkan kepada orang ramai tentang perkembangan insiden itu dari semasa ke semasa khususnya di media.

Pengguna juga boleh menghubungi Air Selangor menggunakan platform media sosial rasminya seperti Facebook, Instagram dan Twitter atau telefon Pusat Perhubungan Air Selangor di 15300 manakala pertanyaan dan kebimbangan boleh dihantar ke Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

 

Related Articles

Back to top button