DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 11 nyawa terkorban dalam tragedi terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan selepas terjadi kebakaran di sebuah pusat beli-belah pada waktu malam semalam di ibu negara Syria, Damsyik.
Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan, kebakaran itu menyebabkan ‘kerosakan barangan yang teruk’ seperti kerosakkan fizikal kedai, pakaian, barangan kulit dan kosmetik, yang kebanyakannya mudah terbakar.
“Seramai 11 mangsa maut dalam kebakaran di pusat beli-belah La Mirada dan dua individu berjaya diselamatkan.
“Siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Pertahanan Awam Syria, Ahmad Abbas, berkata mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu adalah pengawal keselamatan atau kakitangan yang bertugas pada sebelah malam dalam bangunan enam tingkat itu.
Jelas beliau, punca kebakaran masih sedang disiasat dan tidak diketahui.
Kebakaran kerap berlakudi Damsyik, dengan sebahagian daripadanya berpunca daripada litar pintas, manakala sebahagian lagi akibat kaedah pemanasan yang tidak selamat.
Menurut Ahmad, sejumlah 25 jentera bomba dikerah membantu memadamkan kebakaran berkenaan yang mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengawal kebakaran.
“Mereka semua yang maut adalah pengawal keselamatan di pusat beli-belah itu atau kakitangan yang bertugas,” katanya, memaklumkan mangsa maut akibat sesak nafas atau terbakar.
Agensi berita SANA, yang memetik jurucakap Hospital Damsyik, Mohammad Aboulreesh, melaporkan hospital itu menerima tujuh mayat yang teruk terbakar dan identiti mereka masih belum dikenal pasti. – AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today