MEKAH : Adam Muhammad, seorang jemaah haji dari Iraq tiba di Mekah dengan berjalan kaki, melintasi 11 negara dan mengambil masa hampir 11 bulan untuk sampai ke Tanah Suci.
Ini adalah impian seumur hidupnya yang akhirnya menjadi kenyataan apabila dia mencapai apa yang dianggap mustahil oleh ramai orang.
“Haji adalah keinginan saya yang paling kuat dan paling saya sayangi,” katanya selepas sampai di Mekah untuk menunaikan umrah dan menghabiskan banyak masa di sekitar Kaabah.
“Sejak perintah berkurung dikuatkuasakan berikutan penularan wabak Covid-19, saya menyibukkan diri dengan membaca dan memahami maksud Al-Quran.
Selepas setahun setengah mempelajari Kitab Suci itu, saya bangun pada suatu hari dari tidur dengan gerak hati yang menyuruh saya berjalan kaki ke Mekah,” katanya.
Adam bertolak dari Britain pada 1 Ogos 2021, menuju ke Mekah untuk menunaikan haji, dengan membawa troli tiga roda untuk membawa barang-barang peribadinya.
Jemaah haji yang berusia 52 tahun itu berkata bahawa persiapannya untuk menunaikan haji hanya mengambil masa dua bulan, dan sebuah pertubuhan British menghulurkan bantuan kepadanya. Merujuk kepada perjalanan yang sukar itu, Adam berkata bahawa dia tidak menghadapi sebarang halangan besar dalam perjalanannya ke Mekah.
“Tiada kesukaran besar kecuali pihak berkuasa polis di beberapa negara yang menyoal tentang keberadaan saya tetapi mereka terkejut apabila mengetahui misi ‘unik’ saya.
“Ramai orang membantu saya ketika sedang dalam perjalanan, tetapi saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa,” katanya sambil menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah kerana Allah S.W.T.
Satu video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kegembiraannya sebaik tiba di destinasi terakhir – Ibu Kota Suci Mekah.
🎥 #فيديو | الرحالة العراقي آدم محمد.. يقطع مسافة من #بريطانيا، سيراً على الأقدام لأداء فريضة #الحج.. استغرقت عشرة أشهر وعشرين يوماً.
📷 @salma0n #عكاظ #ان_تكون_اولا https://t.co/hiZirp74eV pic.twitter.com/J0XgZUpscx— عكاظ (@OKAZ_online) June 26, 2022
Sebilangan penduduk dan jemaah Mekah yang hadir di Masjid Ayesha di Al-Taneem melahirkan rasa gembira atas kedatangan Adam yang memulakan perjalanan dengan berjalan kaki dari Britain sejak 10 bulan 25 hari lalu melepasi 11 negara.
Adam berterima kasih kepada rakyat Arab Saudi yang telah mencurahkan kemurahan hati mereka sejak ketibaannya. Dia kini terlibat sepenuhnya dalam persiapan mental dan fizikal untuk menunaikan haji tahunan.