Semasa

1 Mei ditetapkan sebagai tarikh lihat anak bulan Syawal

PETALING JAYA : 1 Mei 2022 diisytiharkan sebagai tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bersamaan dengan 29 Ramadan 1443 Hijrah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

“Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

“Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga menerusi radio dan televisyen,” menurut kenyataan hari ini.

Justeru, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang hari 1 Mei 2022 di 29 lokasi terpilih.

Antara lokasi-lokasi yang terpilih untuk melihat anak bulan Syawal adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button