1 maut, 1 cedera dalam insiden pesawat ringan terhempas di Ipoh
IPOH : Insiden pesawat ringan terhempas melibatkan dua jurulatih penerbangan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng telah menyebabkan seorang maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, pesawat tersebut adalah jenis Piper 28-161 dengan pendaftaran 9M-BAA dan dikendalikan BATS Aviation Sdn Bhd.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam berhubung pesawat latihan terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada Isnin,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, satu siasatan lanjut akan dimulakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara untuk mengetahui punca kemalangan itu.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meluahkan rasa sedih atas perkembangan terkini tentang kejadian tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa seorang juruterbang pesawat Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh telah disahkan maut. Manakala seorang lagi pembantu juruterbang kini dirawat di hospital akibat kecederaan di bahagian kepala.
“Takziah kepada keluarga mangsa, kejadian yang berlaku ini amat tragis dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenalpasti punca kemalangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.