DuniaKemanusiaanSyria
Trending

Yayasan Qyyum, MAPIM Malaysia kerjasama bina Malaysia Refugee City di Syria

Sasar bina bangunan tempatkan 9 keluarga pelarian bernilai RM350,000

Bermatlamat membina satu penempatan inklusif – Malaysia Refugee City, di pinggir bandar Azaaz, Syria, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini bekerjasama dengan Yayasan Qyyum, (QF) bagi menjadikan impian kemudahan kepada lebih 3,000 keluarga pelarian itu tercapai.

Dengan satu tujuan yang sama daripada kedua-dua pihak, berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan satu majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) di antara MAPIM dan QF, termeterai.

QF menyumbang sejumlah RM350,000 kepada Tabung Syria MAPIM dengan mensasarkan pembinaan sebuah bangunan apartmen 3 tingkat, yang boleh memuatkan seramai sembilan keluarga.

Yayasan Qyyum diwakili Presidennya, Encik Abdul Qyyum manakala MAPIM Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, PPj Bersekutu (PA)(Dr.) Sani Araby Al-Kahery Dato’ Abdul Alim Araby

Melalui sumbangan ini, Yayasan Qyyum berhasrat melaksanakan impian mereka membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia apatah lagi bekerjasama dengan MAPIM Malaysia yang diyakini dalam misi-misi kemanusiaannya.

Ditubuhkan pada tahun 2012, Yayasan Qyyum menggariskan matlamat memperkasa golongan belia di Malaysia.

Sekaligus menjadi platform kepada golongan itu untuk memberi kembali kepada komuniti sejagat melalui program pembangunan masyarakat dan kerja-kerja kebajikan, menyemai kasih sayang sesama insan, keamanan dan keharmonian.

Di arena tempatan, baru-baru ini Yayasan Qyyum juga menyertai misi MAPIM Malaysia dengan menaja barang keperluan kepada penduduk di utara tanah air yang terjejas akibat wabak Covid-19 dalam misi Jelajah Peduli Ummah MAPIM 2020.

Kedua-dua pihak kemudian, menghadiri lawatan industri, ke Gaia Plas Berhad dan juga di Palms Pier Sdn Bhd.. Syarikat ini yang masing-masing terletak di Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang, adalah di bawah kelolaan dan tulang belakang kepada operasi Yayasan Qyyum. Syarikat juga merupakan pengeluar serta pengeksport minyak masak berkualiti tinggi dengan jenama Muri.

Dalam rangka menegakkan hak asasi manusia, MAPIM Malaysia berpengalaman luas dalam pelbagai projek kemanusiaan di Syria serta 40 negara lainnya, memfokuskan kepada penyampaian bantuan kemanusiaan seperti makanan asas, peralatan perubatan, keperluan musim sejuk dan sebagainya.

Namun merancang jauh ke hadapan, MAPIM Malaysia membantu pelarian Syria melepaskan diri daripada kebuntuan, secara  jangka panjang, salah satunya dengan pembinaan Malaysia-Syria Refugee City seluas 56 ekar.

Satu penempatan yang lengkap dengan kawasan perumahan, Pusat Pembangunan Insan, kedai, sekolah, masjid, taman permainan dan lain-lain lagi kemudahan diharap dapat meringankan beban lebih kurang 3,000 keluarga dengan pembangunannya sahaja dianggar mencecah RM 40juta.

 

Pastinya untuk memberi yang terbaik, penempatan itu nanti akan dibangunkan secara berperingkat dan berfungsi sebagai kota yang tersusun dan berpusat bertujuan memenuhi keperluan mendesak di bumi Idlib.

Pelbagai aktiviti ekonomi juga akan disusun antaranya perladangan, penternakan khusus bermotifkan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan pelarian.

Selain itu juga, cadangan mewujudkan kelas vokasional dan kelas ekonomi rumah tangga (ERT) seperti kelas menjahit, kelas memasak, bengkel dan lain-lain yang bakal diperkenalkan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

MAPIM Malaysia bekerjasama dengan agensi wakaf kerajaan Turki serta pelbagai agensi yang lain untuk mencapai misi kemanusiaan di Syria.

Bagi anda yang ingin membuat sumbangan kemanusiaan Syria bersama MAPIM atau mempunyai sebarang maklum balas dan pertanyaan lanjut, anda boleh melayari www.tabungsyria.com atau berhubung terus dengan talian hotline MAPIM 1300888038 / 0128002016.

Sumbangan anda adalah harapan buat mereka.

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button