KerohanianSemasaSyariah

Waspada dengan musuh-musuh Islam : Sultan Selangor

Hayati intipati khutbah Jumaat

SHAH ALAM : Umat Islam harus sedar dan berjaga-jaga musuh-musuh Islam sentiasa memerhati untuk mengancam kesucian agama ini pesan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, Selangor Royal Office , baginda menyeru seluruh rakyat negeri Selangor untuk mengamati intipati khutbah Jumaat, pada 2 April 2021 berkaitan “Jangan hina Islam”.

Menerusi kandungan khutbah itu, apa-apa perbuatan dan percakapan yang melibatkan penghinaan terhadap Allah, para Rasul, ayat-ayat Al-Quran dan segala peraturan-peraturan agama Islam boleh dijatuhkan murtad.

Baginda menegaskan perlakuan merendahkan martabat agama Islam ini juga mendapat sokongan dari segelintir masyarakat Islam itu sendiri yang memandang enteng terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri mereka tersungkur dalam kejahilan dan merudumnya akhlak.

Baginda turut berdukacita, ada manusia yang suka mempermainkan kalimah Allah malah mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bercanggah dengan akhlak dan aqidah Islam. Lebih teruk, ada yang berani melanggar dan bersenda gurau terhadap hukum-hukum Islam, mengejek syariat dan peraturan serta mempermain-mainkan hukum agama.

Tidak sedarkah mereka dengan kebiadapan sebegini mengundang kemurkaan Allah? Alpakah mereka bahawa tindakan itu amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW?

Sementara itu, baginda sekali lagi mengingatkan para pemimpin untuk menjalankan tanggungjawab sebagai induk pimpinan negara dalam menjaga kesejahteraan dan kesucian berdasarkan nas Syariat serta peruntukan perundangan negara.

Ingatlah semua! Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di negeri Selangor Darul Ehsan dan semua negeri lain di Malaysia. Peruntukan-peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.

Oleh Pelatih Fakulti  Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button