SemasaSyariah

Bakal jemaah haji tahun ini diwajibkan mengambil vaksin

Antara syarat utama untuk ibadah Julai depan

RIYADH : Kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksin COVID-19 ke atas bakal jemaah haji tahun ini.

Menteri Kesihatannya Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata ia merupakan antara syarat utama dikenakan kepada jemaah bagi mencegah jangkitan COVID-19.

Lapor Okaz salah satu media Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, berkata vaksin COVID-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu pada Julai nanti.

Rabiah bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan haji, namun berkata suntikan vaksin adalah syarat utama.

Arab Saudi mewajibkan pekerja kesihatan yang terbabit dalam ibadah haji musim ini untuk menerima vaksin COVID-19. - Foto AFP

Pada 2020, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada seramai 1,000 orang bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

Arab Saudi juga memulakan program vaksinasi COVID-19 pada 17 Disember lalu membabitkan vaksin keluaran Moderna, Pfizer dan AstraZeneca.

Sementara itu, pekerja kesihatan yang terbabit dalam ibadah haji pada musim ini turut diwajibkan menerima vaksin COVID-19

“Anda perlu bersedia awal bagi memastikan tenaga kerja yang diperlukan untuk operasi fasiliti kesihatan di tanah suci Makkah dan Madinah serta di pintu masuk bagi jemaah haji musim 2021.  Satu jawatankuasa vaksinasi perlu ditubuhkan untuk musim haji dan umrah, yang mana mereka menerapkan penerimaan wajib vaksin COVID-19 untuk pekerja kesihatan yang terbabit,”

Kenyataan itu terkandung di dalam satu pekeliling rasmi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly, dalam satu sidang media pada Selasa memaklumkan, sesiapa yang menerima vaksin dan melepasi dua hingga tiga minggu selepas menyelesaikan vaksinasi tidak perlu dikuarantin apabila bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.

Katanya, keluk wabak jangkitan COVID-19 sedang melalui fasa ‘turun naik’ dan pihak berkuasa sedang memantaunya dengan teliti. – AGENSI

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button