Covid19Semasa

VIDEO: Di Sebalik Pengurusan Jenazah Korban COVID-19, Tiada Kucupan Ahli Keluarga Buat Kali Terakhir

Tajhiz jenazah ataupun pengurusan jenazah adalah sangat penting untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Islam mengajarkan umatnya supaya menguruskan jenazah dengan baik sebagai tuntutan dalam memuliakan saudara seagama ini. Jika kita membuka kitab hadis yang berkaitan dengan tajhiz jenazah ini, ditemui banyak hadis yang menerangkan tatacara menguruskan jenazah dengan baik.

Salah satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Apabila salah seorang diantara kalian mengkafani saudaranya, maka hendaklah memperbaguskan kafannya” (HR. Muslim, No 43).

Namun dalam konteks jenazah pesakit Covid-19, jenazah diuruskan dengan kaedah yang khas dan tidak seperti jenazah biasa. Ini kerana menguruskan jenazah yang sudah terkena wabak adalah suatu perkara yang sangat berisiko lebih-lebih lagi kepada orang yang menguruskannya.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 di Hotel Pulse Grande telah mengambil ketetapan bahawa:

Sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke 107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease:EVD) di Malaysia.

Kini, di facebook tular satu video berkaitan dengan tatacara pengurusan jenazah berisiko tinggi (COVID 19) ini dengan lengkap.

 

Tatacara yang dilakukan sangat cermat dan penuh berhati-hati. Antara langkah-langkah yang ditunjukkan ialah:

  1. Jenazah akan terlebih dahulu akan dimasukkan ke dalam sejenis beg zip sebanyak dua kali-disebut double body bag. Proses ini akan dikendalikan oleh kakitangan hospital.
  2. Pegawai perubatan yang akan menguruskan jenazah akan memakai pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) dengan lengkap.
  3. Semburan dekontaminasi untuk tujuan penyahkumanan dan pensetrilan sering digunakan ke seluruh kawasan di dalam bilik pengurusan jenazah.
  4. Peralatan jenazah seperti kain kafan, debu tayamum dan keranda khas akan disediakan sebelum jenazah dibawa masuk.
  5. Jenazah yang telah siap dibalut dengan kain linen dan 2 lapis body bag akan dibawa masuk dan segera dikafankan serta diikat dengan sempurna dan ketat.
  6. Proses tayammum akan dilakukan di atas kain kafan yang telah dibalut tadi. Dimana petugas akan menyapu debu ke bahgian muka jenazah terlebih dahulu sambil diniatkan tayammum keatas jenazah.
  7. Proses sapuan akan diulang ke bahagian tangan kanan kemudian tangan kiri jenazah, mengikut tertib tayammum.
  8. Seterusnya jenazah akan dimasukkan kedalam keranda khas dan proses semburan dekontaminasi turut dilakukan ke atas jenazah sebelum keranda ditutup menggunakan gam silikon.
  9. Penutup keranda dipakukan serta proses semburan dekontaminasi sekali lagi di seluruh bahagian keranda.
  10. Jenazah akan disolatkan seperti biasa dan hanya dilakukan oleh petugas yang terlibat sahaja.
  11. Keranda jenazah akan dimasukkan ke dalam van dituruti dengan proses semburan dekontaminasi akan dilakukan ke atas keranda dan van jenazah.
  12. Pengendali yang akan turut melakukan proses pengebumiaan dan bilik tadi yang digunakan sebentar tadi turut didekontaminasi sepenuhnya.
  13. Jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak petugas kesihatan dan ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melihat proses pengebumiaan ini. Jenazah akan dikebumikan bersama-sama keranda khas tadi.
  14. Setelah selesai semuanya para petugas akan melalui proses doffing off.

Dalam pada itu juga telah tular sebuah video berasingan yang berdurasi 2 minit 20 saat diupload di laman sosial twitter menunjukkan upacara solat jenazah oleh doktor di sebuah hospital.

Para netizen yang menonton mengucapkan takziah dan perasaan sedih menyelubungi di ruangan komen.

“Saya tak boleh bayang perasaan family dia. ???? Alfatihah” – @syhdizzh

“Keluarga tak dapat tatap buat kali terakhir sehinggalah selesai pengebumian, Allahu sebaknya rasa, Al Fatihah” – @WiwinMoy

(Artikel turut ditulis oleh saudara Faris Aiman, pegawai MAPIM Malaysia)


  •  

    Sumbangan Tabung Bantuan Kemanusiaan COVID19
    MAPIM Malaysia juga mengalu-alukan sumbangan wang ringgit dan barangan stok makanan seperti beras, sardin, roti, tepung,dan lainnya untuk dapat diagihkan kepada fakir miskin serta golongan yang sangat memerlukan saat-saat begini.

    MAPIM Malaysia menjemput rakyat Malaysia yang prihatin dan ingin menyalurkan sumbangan untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan COVID19 ini bolehlah infaq online menerusi www.bantuummah.com  atau infaq menerusi akaun Tabung Kemanusiaan MAPIM (Maybank 562263540066)

    MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi aplikasi whataaps seperti berikut:

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button