KesihatanSemasa

Usahawan warga emas jual air Nira kurma

Awalnya hobi, kini jadi sumber pendapatan

KOTA BHARU : Seorang warga emas berumur 61 tahun tidak dapat memenuhi permintaan air Nira yang dihasilkan daripada pokok kurma walaupun ditanam sejak 15 tahun lalu.

Beliau adalah satu-satunya pengusaha air Nira kurma di Malaysia. Sepanjang Ramadan tahun ini, air Nira kurma yang dihasilkannya mendapat permintaan tinggi sehingga 10 kali ganda berbanding bulan biasa, kata Mohd Zain Mohamed.

Tambahan pula, beliau menanam pokok kurma hanya sekadar hobi pada awalnya. Sekarang sebanyak 200 batang pokok kurma ditanam di atas tanah seluas 0.4 hektar.

Ketika ditemui di kampung Teras, Binjai pada 24 hari bulan April, Mohd Zain Mohamed tidak menyangka dapat meraih pendapatan daripada hobinya itu.

“Saya tidak menyangka daripada hobi, kini mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan air Nira kurma setiap kali bulan Ramadan malah pelanggan juga bukan sahaja dalam Kelantan, malah ada juga dari luar termasuk Kuala Lumpur dan Pahang. Bagi mendapatkan air Nira, kira-kira 50 pokok batang kurma yang sudah matang ditoreh untuk mengeluarkan airnya akan dibiar penuh di dalam botol selama satu malam sebelum ia diambil pada keesokan harinya.” – Mohd Zain Mohamed

Selain itu, untuk memastikan air Nira yang diambil dari pokok kurma tahan lebih lama, beliau akan memasukkan kepingan kayu cengal di dalam botol yang digantung pada pokok.

“Setiap pokok kurma mampu menghasilkan sehingga 4 atau 5 liter air Nira kurma yang boleh diambil pada setiap hari. Walau bagaimanapun, apabila hujan pengeluaran air Nira sedikit berkurangan kerana ianya dimasuki air hujan dan kebiasaannya saya tidak akan mengambilnya kerana sudah bercampur dengan air hujan dan ini akan mengurangkan rasa asli air Nira kurma”. – Mohd Zain Mohamed

Bapa kepada tujuh anak berusia di antara 18 dan 34 tahun ini ketika membandingkan air Nira kurma dengan air Nira kelapa, katanya air Nira kurma jauh lebih manis dan berlemak.

“Pada masa sama, melalui pembacaan saya juga mendapati air Nira kurma ini banyak mengandungi khasiat yang boleh mengubati penyakit seperti buah pinggang. Sejak 3 tahun lalu, saya mula menjual air Nira kurma di sekitar negeri ini dengan harga RM15 untuk setiap 250 (ml) bagi memenuhi permintaan pelanggan khususnya di Kelantan”.- Mohd Zain Mohamed

Beliau turut dibantu oleh enam pekerja selain saudara mara terdekat.

Malahan, selain menjual air Nira kurma, beliau juga menjual cuka kurma yang dihasilkan daripada Nira pokok kurma yang ditanam dan dijual RM20 untuk setiap 300ml.

Kurma sangat berkhasiat kerana mempunyai vitamin, mineral, sedikit protein dan fiber yang banyak. Fiber atau gentian yang banyak terdapat pada  kurma dapat mencegah sembelit.

Khasiat kurma juga disebut dalam hadis Nabi SAW.

“Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis Sahih Muslim)

Oleh: Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi- Muhammad Nasrul Haqim

Related Articles

Back to top button