Travelog

Upacara wangkang dan pantun diiktiraf UNESCO

Warisan negara dipersada dunia

KUALA LUMPUR : Budaya yang semakin dilupakan upacara wangkang dan pantun, dimasukkan dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, secara pencalonan multinasional.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengiktirafan pada kali ini amat bermakna kerana buat pertama kalinya Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan UNESCO bersama negara lain, dengan upacara wangkang telah dicalonkan bersama China, manakala pantun dicalonkan bersama Indonesia.

“Keputusan ini telah diumumkan pada 17 Dis sewaktu Mesyuarat ke-15 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO yang sedang berlangsung sehingga 19 Dis.”

“Penyenaraian yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh jawatankuasa itu yang dianggotai oleh 24 Negara Anggota 2003 Konvensyen bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara yang dipengerusikan oleh wakil negara Jamaica,” katanya satu kenyataan media.

Beliau berkata pengiktirafan itu telah menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai di bawah Senarai Wakil kepada lima iaitu kali pertama pada tahun 2005 menerusi pengiktirafan mak yong, dondang sayang (2018) dan silat (2019).

Wangkang bermaksud ‘kapal Wang’ diadakan sejak tahun 1854 di Melaka merupakan upacara perarakan kapal untuk menjemput roh-roh jahat keluar dari dunia ini dan menurut kepercayaan masyarakat Cina, upacara wangkang adalah usaha mereka mendapatkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran masyarakat di sesuatu tempat.

Pantun pula merupakan puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap dengan dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan dua baris kedua mengandungi maksudnya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata sehingga kini sebanyak 180 negara telah menjadi Negara Anggota Konvensyen berkenaan dan sejumlah 463 warisan kebudayaan tidak ketara dari seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Senarai Wakil.

“Pengiktirafan ini sekali gus akan mengukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama dengan UNESCO dan Negara Anggota Konvensyen 2003 yang lain dalam hal-hal berkaitan warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global.

“Kejayaan ini merupakan testimoni kepada hubungan Malaysia dengan China dan Indonesia yang terjalin sejak berkurun lamanya, yang menyumbang kepada kepelbagaian dan keunikan warisan kebudayaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata penyenaraian itu juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia dan secara tidak langsung mengangkat Malaysia di mata dunia sebagai antara negara yang mempunyai pelbagai khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang boleh menjadi produk pelancongan negara.

Dalam pada itu, Nancy turut mengingatkan bahawa pengiktirafan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tidak kira kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti atau individu untuk memastikan warisan tersebut terus dilindungi dan disampaikan kepada generasi akan datang.

— BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button