Semasa

19 sekolah di Melaka masih belum boleh dibuka

MELAKA :  Sebanyak 19 sekolah rendah dan menengah di negeri ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir, namun masih belum dibuka semula untuk tahun persekolahan baharu yang bermula Isnin ini.

Walaupun PPS di sekolah-sekolah itu ditutup minggu lalu, EXCO Pendidikan dan Teknologi Negeri, Datuk Rais Yasin, mendakwa empat sekolah masih digunakan sebagai PP, dan selebihnya belum bersedia bagi menyambung semula sesi persekolahan.

Menurutnya, hanya 226 sekolah rendah dan 74 sekolah menengah akan beroperasi pada Isnin ini dengan jumlah murid sekolah rendah seramai 85,186 orang dan 65,219 murid sekolah menengah.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Alor Gajah, dan SK Parit Penghulu, SK Seri Mendapat, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai merupakan empat buah sekolah yang masih dimanfaatkan sebagai PPS di Jasin.

“Semua pelajar di sekolah digunakan sebagai PPS akan menjalani sesi pembelajaran menerusi kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan perkara itu dimaklumkan lebih awal kepada guru serta pelajar sekolah berkenaan,” katanya di Paya Rumput hari ini.

Rais seterusnya berkata seramai 95 pelajar yang masih ditempatkan di PPS diberi kelonggaran bagi mengikuti PdPR.

Beliau berkata, ia kerana keadaan di PPS mungkin akan memberi kekangan kepada mereka bagi mengikuti pembelajaran berkenaan, selain kemudahan alat komunikasi serta jalur lebar yang terhad.

Katanya, semua guru, kakitangan sekolah, pelajar serta ibu bapa diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button