Semasa

Tun Rahah meninggal dunia

`Tiada kata-kata untuk kehilangan ini'' - Najib

KUALA LUMPUR : Innalillahwainnailaihirojiiun!

Bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir. Tiada kata-kata untuk kehilangan ini”

Demikian nukilan perasaan yang dizahirkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dimuat naik dalam sosial media berhubung pemergian bonda tersayangnya.

Tun Rahah Mohamad Noah meninggal dunia petang ini selepas mendapat rawatan di Hospital Prince Court di ibu negara.

Tun Rahah mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdul Razak pada usia 19 tahun pada 4 September 1952, sebaik tamat persekolahan di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru, Johor.

Ketika itu, Tun Abdul Razak berusia 30 tahun dan berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.

Walaupun Tun Abdul Razak digelar sebagai Bapa Pembangunan Negara, namun Tun Rahah dikenali dengan keperibadiannya yang tidak menonjol dan pendiam.

Namun, sifatnya serba sederhana itu banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

Tun Rahah yang juga anak bongsu kepada empat adik beradik dalam keluarganya, dilahirkan di Muar, Johor pada 11 Jun 1933.

Bapanya, Mohamad Noah Omar adalah bekas majistret yang pernah menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Johor Bahru Timur, yang turut dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang pertama.

Kakak Tun Rahah iaitu Tun Suhailah berkahwin dengan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn. Tun Suhailah meninggal dunia pada 2014.

Selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976, Tun Rahah memikul tugas berat apabila semua anak-anaknya masih menuntut di universiti.

Ketika Tun Razak memimpin negara dan mengetuai UMNO, Tun Rahah bergiat aktif dalam pergerakan kaum ibu UMNO dan menjadi pengasas Pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya.

Tun Rahah juga pernah dilantik sebagai penaung pertama Persatuan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) pada 1972 hingga 1977.

Beliau turut pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) dan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah Pendidikan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Istiadat Konvokesyen Kali ke-22 universiti itu.

Buat srikandi negara – Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehah. Amiin

Al – Fatihah.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button