Sukan

Tujuh atlet negara termasuk lima atlet para positif COVID-19

Selepas ujian calitan, mereka diasingkan

KUALA LUMPUR:  Majlis Sukan Negara (MSN)  mengesahkan kes positif itu membabitkan dua atlet olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kesemua individu yang disahkan positif COVID-19 telah diasingkan dan menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“MSN juga mengasingkan atlet (PUS) berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan atlet dan pegawai yang disahkan positif dan ujian calitan akan dilakukan pada hari keempat. Jika keputusan negatif tetapi mempunyai simptom, mereka perlu menjalani proses kuarantin hingga hari ke-10. Ujian akan diadakan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas daripada jangkitan,” – Datuk Ahmad Shapawi Ismail / Ketua Pengarah MSN 

Seramai 466 daripada 735 atlet Program Podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih negara telah menjalani ujian swab di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

Ujian swab itu juga diadakan di Kompleks MSN Taman Keramat melibatkan 38 daripada 41 atlet dan jurulatih, selain di Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan melibatkan 89 daripada 91 atlet para dan jurulatih.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choon Hann didapati positif COVID-19 selepas ujian calitan dilakukan ke atas 39 pemain dan jurulatih badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persediaan ke Jelajah Asia BWF di Thailand.

Secara keseluruhan, hanya satu peratus iaitu lapan daripada 632 atlet dan pegawai yang telah menjalani ujian swab didapati positif COVID-19 dan dipercayai mendapat jangkitan semasa bercuti di kampung atau rumah masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kem latihan berpusat MSN akan diteruskan menggunakan pendekatan secara kuarantin bagi tempoh dua minggu pertama dengan atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.

“Arahan ini akan dikaji semula selepas dua minggu melihat kepada perkembangan penularan jangkitan COVID-19. Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih sahaja. Pengawalan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain dari atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan.

“Proses sanitasi akan dilaksana di setiap pusat latihan dan penginapan seminggu sekali. Perkara ini akan dilaksana secara serta merta. Langkah ini diambil bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan komitmen MSN dalam memastikan atlet negara berada dalam kesihatan dan kondisi terbaik bagi menjalani latihan masing-masing,” kata Ahmad Shapawi.

Katanya, perkara itu dikuatkuasakan kepada semua pusat latihan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat, Kompleks Pelayaran Langkawi, Akademi Badminton Malaysia, Velodrom Nasional Nilai dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.- BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button