Semasa

“Tolong jaga budak ini”

Bayi bertali pusat ditinggal di pintu pagar!

GEORGETOWN 11 APRIL : Mana nilai kemanusiaan apabila seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibaluti tuala hijau, ditinggalkan di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong , malam semalam

Turut ditemui bersama bayi itu sekeping nota bertulis “Tolong jaga budak ini”.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata bayi itu ditemui lelaki berusia 43 tahun, ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan kira-kira jam 7.40 malam.

Beliau berkata, ketika membuka pintu utama berhampiran pagar persatuan, lelaki terbabit terlihat sesuatu yang dibaluti dengan tuala hijau dan ditinggalkan di atas jalan.

“Ketika ditemui oleh lelaki terbabit, bayi berkenaan tidak menangis dan dalam keadaan baik sebelum dibawa masuk ke dalam pejabat persatuan itu bagi dipakaikan lampin dan pakaian.” – Ketua Polis Daerah Timur Laut /  Asisten Komisioner Soffian Santong

“Rakan lelaki berkenaan yang berada di bangunan persatuan itu juga turut memberi susu formula kepada bayi terbabit,” katanya hari ini.

Didapati tiada cap jari sempurna dapat dikesan pada nota yang ditinggalkan bersama bayi berkenaan.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian, namun ada satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 0195641822 atau ke balai polis yang berhampiran,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BH

Related Articles

Back to top button