InspirasiSemasa

Dr Zaliha diberi penghormatan pengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO

Menteri Kesihatan Malaysia pertama diberikan penghormatan sebegitu

GENEVA: Dr Zaliha Mustafa menjadi Menteri Kesihatan Malaysia yang pertama diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesi ke-152 di Geneva, Switzerland.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara, dan sepanjang 10 tahun penglibatannya bersama WHO.

Beliau berkata Dr Zaliha diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat itu selepas dilantik sebagai naib pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat 2023-2024.

“Dr Zaliha Mustafa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO sesi ke-152 pada sesi poliomyelitis eradication, polio transition planning dan polio post-certification,” kata Dr Noor Hisham melalui Twitter rasminya.

“Ini merupakan antara pencapaian utama beliau yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Menteri Kesihatan,” tambahnya.

Dr Zaliha bersama delegasi menghadiri mesyuarat itu di Geneva, Switzerland bermula Isnin lepas sehingga Selasa depan dan selain beliau serta Dr Noor Hisham, turut bersama dalam sesi lawatan rasmi itu ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO merupakan mesyuarat berkala dihadiri menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah dan pakar dalam bidang kesihatan.

Ia merupakan platform bagi membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button