Covid19Semasa

Tak boleh guna ruangan solat masjid sebagai tempat PPV

PPV masjid perlu ikut SOP yang ditetapkan CITF

KUALA TERENGGANU :  Kerajaan mengingatkan supaya  pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di kawasan masjid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) dengan tidak menjadikan ruangan solat sebagai tempat suntikan mahu pun menunggu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, PPV berkenaan hanya boleh beroperasi sekiranya kemudahan di masjid tersebut mencukupi dan sesuai untuk dijadikan lokasi proses vaksinasi.

“SOP penting yang perlu dipatuhi di PPV masjid ialah tidak menggunakan ruang solat. Gunakan kemudahan lain yang ada di kawasan masjid, misalnya bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid. Jika masjid yang mahu digunakan tidak mempunyai kelengkapan sesuai, ia sepatutnya tidak dibenarkan dari awal,” Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi / Datuk Ahmad Amzad Hashim

Datuk Ahmad Amzad berkata, masalah itu berbangkit apabila terdapat negeri yang telah memulakan program ‘outreach’ di masjid tanpa merujuk SOP kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pusat.

Beliau telah menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan supaya langkah segera diambil bagi mengelakkan penyebaran gambaran negatif terhadap usaha murni kerajaan dalam meluaskan pemberian vaksin kepada rakyat.

PPV masjid hanya dibenarkan beroperasi jika mempunyai kemudahan bersesuaian bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu, Ahmad Amzad menjelaskan terdapat lokasi lain yang turut dijadikan PPV sebagai usaha memperluaskan pemberian vaksin selain masjid.

“Susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis PPV masjid di Terengganu, saya telah meminta inisiatif ini dikembangkan dengan garis panduan ditetapkan. Kita bukan minta setiap masjid membuka PPV, hanya masjid yang mempunyai kelengkapan sesuai digalakkan. Kita juga ada banyak lagi PPV yang dibuka seperti dewan orang ramai, balai raya dan klinik kesihatan,” Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi / Datuk Ahmad Amzad Hashim

– BH Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button