EkonomiKemanusiaanPendidikanSemasa

Puan Mahanom wanita besi, pemenang dua kali Kontraktor Terbaik CIDB

Pengalaman 20 tahun dalam industri binaan

Puan Mahanom, punyai pengalaman 20 tahun dalam membangunkan syarikat kontraktor. Bidang yang keras dan dikuasai oleh kaum lelaki.

Beliau bukan sahaja menceburi bidang untuk sekadar berada di pinggiran, tetapi sudah dua kali beliau memperoleh pengiktirafan sebagai Kontraktor Terbaik daripada CIDB. Suatu pencapaian yang luar biasa.

Inilah kisah Puan Mahanom, wanita besi.

Puan Mahanom bersama ayah dan anugerah yang dimenanginya

PRINSIP

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan dengan didikan ibu bapa yang tegas. Pulang ke rumah sebelum pukul enam, dan kehidupan sosial sangat terjaga. Tetapi itu tidak menjadikan Puan Mahanom kurang kawan. Beliau mempunyai kawan-kawan sekolah daripada berbilang bangsa, yang masih berhubung sampai sekarang walaupun sudah lebih 40 tahun.

Puan Mahanom adalah lulusan UiTM Shah Alam, Diploma In Business Studies, pengkhususan dalam Pemasaran. Memulakan kerjayanya di Majalah Malaysian Tatler sebelum menyertai industri binaan dengan syarikat pembekal, pemaju dan kontraktor selama 10, sebelum mengasaskan syarikat kontraktor sendiri yang kini sudah berusia 20 tahun.

Apabila ditanya tentang inspirasi bagi menyertai kerjaya yang mencabar ini, Puan Mahanom menjawab dengan penuh prinsip.

“Berada hampir 30 tahun dalam industri binaan, saya melihat industri boleh menjadi rosak apabila aktiviti tidak berintergriti seperti penyalahgunaan lesen dan rasuah oleh orang lama, mula diajar dan dimomokan sebagai satu kewajipan kepada pelapis industri.

“Ini menyebabkan ramai pelapis berbakat dan sangat berguna kepada pembangunan negara takut mahu menyertai bidang ini.

“Momokan dan ajaran sesat seperti wajib rasuah, mesti ada lebih dari satu lesen ini perlu dihentikan.

“Ia tidak betul. Saya sudah menjadi kontratkor selama 20 tahun dengan hanya ada satu lesen. Tanpa perlu ada proksi lesen, atau jadi Ali Baba untuk merebut kerja direct dari kerajaan. Tidak perlu sertai tender dan sebutharga dengan menyusun lesen atau dikenali sebagai kartel.

“Dengan kemahiran yang betul dan sistem kerja yang baik, kita tidak perlu pun merasuah untuk percepatkan apa jua proses kelulusan atau bayaran.

“Inspirasi itu lahir apabila ada kesedaran bahawa momokan dan ajaran sesat ini perlu dihentikan segera sebelum ia merosakkan industri.

“Alternatif yang ada, adalah mengajak pelapis industri untuk membetulkan sistem kerja dalam menguruskan kontrak sebelum, semasa dan sesudah mendapat kontrak.”

Dengan insipirasi mahu membuktikan tanpa amalan yang salah pun boleh berjaya, Puan Mahanom memegang erat kedua-dua kata hikmah ini,

Walaupun kita hilang semuanya, kita masih ada Allah dan Quiter never win, Winner never quit

KEKUATAN DAN KELEMAHAN

Untuk sesiapa yang mahu memasuki bidang ini, selain daripada pengurusan kontrak dan pengetahuan teknikal, kemahiran komunikasi juga sangat penting. Apabila silap menyampaikan arahan atau sesuatu mesej, hasil kerja tidak menjadi seperti yang kita mahukan. Pelanggan juga pasti tidak akan berpuas hati.

Itulah kemahiran yang menjadi kelebihan Puan Mahanom. Selain daripada sudut kerja kontrak, kekuatan utama datang daripada pasukan yang beliau ada. Ahli pasukan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kekuatan lain yang beliau miliki adalah pengalaman dalam industri ini sendiri.

Apabila berbicara tentang kelemahan yang mahu perbaiki pula, ia banyak berkaitan dengan perkembangan teknologi yang pantas. Antaranya, kemahiran komunikasi dalam dunia digital, kerana cara komunikasi dalam alam maya berbeza dengan interaksi dua mata. Kadang apa yang disampaikan boleh disilap tafsir oleh penerima.

Namun kelemahan itu bukan cabaran utamanya dalam bidang kontraktor ini. Cabaran utamanya adalah kritikan dan pandangan sinis penggiat industri yang tidak senang dengan usaha melahirkan pelapis industri menjadi kontraktor berintegriti.

Mereka melilhat pelapis ini sebagai pesaing kerana mereka tiada kemahiran yang ditauliahkan, berbanding dengan pelapis industri yang rata-rata adalah graduan teknikal yang dilahirkan dari kolej dan universiti tempatan.

Atas kerana itu Puan Mahanom mencuba pendekatan baru. Beliau sekarang berusaha membukukan segala ilmu dapatan kontraktor dan perniagaan yang beliau ada untuk rujukan anak bangsa. Itulah perancangan masa hadapannya buat masa ini, membina industri yang jauh daripada sebarang unsur yang haram.

Buku yang ditulis berdasarkan pengalaman untuk generasi penerus
Memyerahkan buku kepada CEO CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri

Semoga dengana adanya buku itu, pemain industri muda dapat mengurangkan risiko kesilapan seperti yang pernah beliau alami. Seperti mempercayai sepenuh hati orang yang baru dikenali tanpa fakta dan bukti nyata.

Pengajarannya, sentiasalah berhati-hati dan membuat penelitian dengan memeriksa latar belakang mereka sebelum mempercayai cerita mereka. Sentiasa percaya pada suara hati. Sentiasa berdoa pada Allah agar menjauhkan kita dari mereka yang mahu mengambil kesempatan.

Pernah sebuah syarikat telekomunikasi menyimpan tuntutan bayaran syarikat kerana mahu habuan rasuah. Puan Mahanom menangis ketika mengadu hal ini kepada Vice Presiden syarikat tersebut. Sakit hati kerana perbuatan menyimpan itu menyebabkan dia terpaksa membuat kerja tambahan dengan membuat aduan kepada VP nya.

Puan Mahanom juga ada pengalaman buruk dengan sebuah agensi kerajaan yang mempunyai nama ‘Islam’. Mereka mengeluarkan tender tanpa mengikut prosedur. Walaupun surat aduan rasmi telah dibuat kepada pengerusi agensi tersebut, tiada tindakan susulan dilakukan. Puan Mahanom sangat sedih kerana agensi ini mempunyai nama ‘Islam’ tetapi tidak mengamalkan gerak kerja seperti dalam agama.

YANG BAIK-BAIK

Untuk kebanyakan waktu, pelanggan Puan Mahanom ramai yang baik dan mengembirakan hatinya. Misalnya, ramai pelanggan di jabatan kerajaan, JKR, dan JPS mempercayai mutu kerjanya dan selalu merekomendasi syarikatnya. Rekomendasi adalah bentuk kegembiraan dan penghargaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini bukti kerja syarikatnya diiktiraf dan paling utama rekomendasi mereka jauh daripada segala unsur haram.

Dalam sektor swasta pula, Puan Mahanom mempunyai ramai pelanggan yang baik hati terutama dalam tuntutan bayaran. Bari invois pagi, petang terus dapat bayaran.

Baru-baru ini, semasa PKPB, seorang Professor dari UiTM memberi tukang-tukang Puan Mahanom ‘duit raya’. Itu benar-benar buat beliau sebak dan terharu.

Bagi mendapatkan pelanggan berkualiti begitu, biasanya Puan Mahanom sabar dan banyak mendengar. Biarkan pelanggan habis bercakap terutamanya pelanggan perempuan. Dalam banyak kes, masalah itu akan terselesai dengan sendirinya setelah habis pelanggan meluahkan perasaan mereka.

Selain kemahiran berhadapan dengan pelanggan, Puan Mahanom juga tidak pernah meninggalkan berdoa. Bergantung dan berserah terus kepada Allah. Antara doa kegemaran Puan Mahanom ialah,

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa resah dan gelisah,

dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas,

dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan bakhil (kedekut),

dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang.

Dan

“Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.”

UNTUK YANG BARU

Untuk yang baru mahu memasuki bidang, kontraktor ini, Puan Mahanom menasihatkan supaya melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran dan pengurusan kontrak. Ini termasuk ilmu penggiraan kerja, pemilihan bahan dan kemahiran penyampaian kerja.

Mendengar luahan pelanggan untuk benar memahami masalah mereka

Tersilap penggiraan boleh merisikokan kerugian. Tersilap pilih bahan boleh merisikokan kerosakan pada struktur. Tersilap cara penyampaian kerja boleh merisikokan kualiti.

Ini kerana, bidang kontraktor adalah satu bidang yang memerlukan kita bertanggungjawab terhadap hasil kerja kita.

Kerana hasil kerja itulah yang akan memberi kesan pada keselamatan dan kesejahteraan pelanggan sepanjang mereka menggunakannnya.

Pastikan kita menghasilkan kerja yang berkualti dan memenuhi standard industri.

Ini bukanlah bidang yang sesuai untuk mereka yang mahu meraih untung perniagaan kerana terlalu mengejar untung akan menyebabkan kontraktor tidak meletakkan kualiti kerja sebagai asas utama.

Bagi usahawan di luar sana, berniaga bukanlah satu perkara mudah, matahari tidak keluar bersinar setiap hari. Ada kala, hujan ribut datang tanpa sebarang amaran dan memusnahkan segala usaha yang dibangunkan.

Berkongsi ilmu tender dan sebutharga dengan sebahagian pelapis industri

Sentiasa muhasabah diri. Sentiasa cari ilmu baru dan tambah baik kualiti kawan-kawan terutama yang selalu mengingatkan kita tentang akhirat.

Jangan pernah mengalah dalam lelah. Jangan pernah berhenti berlari. Pelangi hanya akan muncul apabila hujan berhenti.

Bagi kaum wanita pula, jangan sesekali ada rasa rendah diri untuk majukan diri dalam industri yang dikuasai lelaki.

Kita punya kecekalan yang sama sahaja walaupun jantina berbeza. Asah bakat, tinggikan minat dan teruskan semangat. Jadikan cabaran satu kekuatan untuk terus memeluk impian.

Bagi mereka yang baru menceburi bidang ini dan tercari-cari ilmu kontraktor dan inspirasi berniaga, boleh membaca lebih banyak lagi hasil bahan penulisan yang telah dikumpulkan di www.mahanom.com

Tanpa rasuah, kita tetap boleh berjaya

Mahanom Mohammad

Related Articles

Back to top button