InspirasiSemasa

Ibu bapa penentu arah kebahagiaan keluarga

Didik anak dengan cara Islam, pasti ada berkatnya

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjamin sesebuah kebahagiaan.

Biarpun sibuk dalam urusan harian, tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik, memberi kasih sayang adalah amat dititikberatkan dalam Islam.

Namun, ada kalanya ibu bapa terlepas pandang dengan tindak-tanduk mereka yang mungkin menimbulkan perasaan tidak senang hati kepada anak-anak.

Jadi, ketahui perilaku ibu bapa yang dilarang dalam Islam.

Tidak adil dan pilih kasih

Sebagai ibu dan bapa amatlah penting untuk mempelajari serta mengetahui tanggungjawab hakiki apabila dalam melayari bahtera rumah tangga.

Sebuah kisah yang boleh menjadi iktibar ketika zaman Rasulullah S.A.W :

Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir RA, kata beliau: “Bapaku pernah membawa aku kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Nabi, bersaksilah sesungguhnya aku telah memberikan Nu’man akan ini dan ini daripada harta.”

Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Adakah semua anak-anakmu mendapat seumpama yang diberikan kepada Nu’man?”

Kata bapaku: “Tidak.”

Maka, jawab baginda S.A.W: “Kalau begitu, suruhlah selain aku yang bersaksi. Lalu, nabi bersabda: “Adakah kamu suka semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu?”

Kata bapaku: “Ya.”

Justeru, amat penting buat ibu bapa untuk berlaku adil dan tidak melebihkan sesiapa dalam kalangan anak-anak.

Jangan disebabkan sikap pilih kasih ini, anak-anak menjadi pecah belah dan bergaduh antara satu sama lain.

Memaki dan mencela anak

Mungkin ada masa ibu bapa berdepan masalah sehinggakan tidak mampu mengawal emosi.

Tetapi tetaplah berhati-hati ketika bertindak atau menuturkan perkataan ketika berada dalam situasi begitu.

Jangan kerana marahkan sesuatu, anak mendapat tempias.

Kata-kata yang dilontarkan adakalanya mungkin mengguris hati si anak.

Memetik kata-kata pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, ibu bapa boleh memarahi anak, tetapi janganlah sampai mengherdik dan memaki hamun mereka.

Menurut beliau, kata-kata yang diungkap bukan sahaja melukakan hati anak malah, menjadi doa dan berbalik kepada diri sendiri.

 

kredit foto : Malaysiakini

“Bila kita maki hamun anak-anak, maknanya kita mendoakan benda yang tidak baik untuk mereka,

“Akhirnya, (kata-kata itu) berbalik kepada kita semula. Untuk apa kita makin hamun mereka? Ingatlah percakapan itu merupakan doa kita.” katanya

Abai tanggungjawab mutlak

Melunaskan tanggungjawab dari sudut jasmani sahaja tidak mencukupi. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dari segi jasmani dan rohani.

Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang sempurna buat anak-anak dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu, ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak, peranan besar yang turut digalas antaranya menyediakan makanan dan minuman, tempat tinggal serta kasih sayang.

Sesungguhnya anak-anak ini adalah amanah dari Allah SWT. Jadi, wajib ke atas ibu bapa untuk melindungi dan memberikan hak yang sebaiknya buat cahaya mata.

Oleh itu, ibu bapa sewajarnya mempamerkan nilai dan keperibadian yang terpuji agar menjadi contoh terbaik untuk anak-anak.

Related Articles

Back to top button