DuniaSemasa

Dua harimau Sumatera dijangkiti Covid-19 di Indonesia beransur pulih

JAKARTA : Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan dua harimau jantan Sumatera yang dijangkiti Covid-19 di sebuah zoo di sini kini beransur pulih.

Menurut Perkhidmatan Taman dan Perhutanan Jakarta, Suzi Marsitawati, Tino yang berusia sembilan tahun dan Hari yang berusia 12 tahun diberi ubat dan terus diawasi oleh doktor haiwan di Zoo Ragunan.

Tino mula menunjukkan gejala termasuk bersin, kesukaran bernafas dan penurunan selera makan pada 9 Julai lalu. Dua hari kemudian, Hari mula menunjukkan simptom yang sama.

Marsitawati berkata, sampel yang diambil dari haiwan pada 14 Julai didapati positif virus ini.

Kedua-dua harimau yang terancam itu dipercayai merupakan kes haiwan pertama di Indonesia yang dijangkiti Covid-19.

“Kedua harimau telah menerima ubat, termasuk antibiotik, dan multivitamin, sejak mereka mulai menunjukkan gejala. Setelah 12 hari, keadaan mereka mula bertambah baik dan dijangka pulih.

“Selera makan mereka telah kembali dan mereka kembali aktif,” katanya.

Tambahnya, zoo itu masih berusaha menyiasat bagaimana harimau itu boleh dijangkiti, walaupun kawan zoo itu ditutup ketika pandemik melanda.

“Kami telah mengesan semua penjaga dan kakitangan zoo yang bertugas ketika harimau mula sakit, tetapi setakat ini tiada yang terdedah kepada COVID-19,” katanya.

Harimau Sumatera adalah satu-satunya subspesies harimau Indonesia dan hanya 600 yang tinggal manakala dua subspesies lain, harimau Jawa dan harimau Bali pupus.

Indonesia menjadi negara tertinggi di Asia Tenggara sejak pandemik Covid-19, dengan lebih dari 3.4 juta kes dan sekitar 94,000 kematian.

-AGENSI

Diterjemah oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button