DuniaSemasa

Taliban dakwa berjaya takluk Afghanistan

KABUL : Taliban mendakwa berjaya menakluki ibu negara, Kabul dengan mengisytiharkan kemenangan  selepas pertempuran 10 hari di negara itu.

Penaklukan itu membuatkan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, keluar meninggalkan Afghanistan semalam.

Ashraf berkata, Taliban sudah menang selepas  mereka masuk ke Kabul, 20  tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Kumpulan pemberontak itu sudah menang melalui ‘pedang serta senjata api’ dan kini bertanggungjawab terhadap kehormatan, harta benda dan hak asasi penduduk Afghanistan.

“Mereka kini berdepan ujian sejarah baru sama ada mahu menjaga nama dan kedaulatan Afghanistan atau mengutamakan kepentingan peribadi serta rangkaian mereka,” katanya dalam kenyataan selepas melarikan diri.

Menurut kumpulan media  Afghanistan, Tolo, destinasi Ghani berkemungkinan lari menuju ke Tajikistan selain melaporkan tindakannya itu untuk mencegah ‘pertumpahan darah’.

Beberapa bulan lalu Taliban menetapkan antara pra syarat perbincangan damai adalah dengan menggesa Ghani untuk meletak jawatan, bagaimanapun, Presiden itu enggan berundur.

Jurucakap pemberontak Taliban mengesahkan mereka  sudah masuk ke beberapa daerah di negeri itu bagi memastikan keselamatan.

Dalam tempoh hanya seminggu, Taliban melancarkan serangan mengejut di negara itu dengan pasukan tentera gagal menjaga wilayah mereka tanpa sokongan tentera AS, yang akhirnya membuat keputusan berundur selepas kehadiran selama 20 tahun.

Pemberontak juga mendakwa mereka mahukan ‘peralihan kuasa yang aman’ dalam tempoh beberapa hari ini.

Awal semalam, kumpulan itu mengarahkan pejuang mereka supaya jangan memasuki ibu negara dan membiarkan saki baki pasukan kerajaan untuk menjaga keselamatan.

AS juga semakin giat memindahkan warga mereka termasuk kakitangan Afghanistan ke lapangan terbang Kabul, dengan dibantu oleh ribuan pasukan tentera yang dikerah membantu pemindahan itu.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata gabungan kuasa Barat kini berusaha memastikan operasi lapangan terbang tidak tergendala untuk membawa pulang rakyat masing-masing.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula menolak andaian sesetengah pihak menyamakan pengunduran dari Afghanistan dengan pengunduran tentera AS dari Saigon, Vietnam pada 1975.

“Hakikatnya, AS memasuki Afghanistan 20 tahun lalu dengan matlamat menghukum mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan pada 11 September (9/11) dan misi itu sudah berjaya,” katanya.

-Al Jazeera

Related Articles

Back to top button