Covid19Semasa

Tiada penumpang India datang Malaysia!

Menteri Pengangkutan kesal tuduhan individu tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR :  Baru-baru ini tular di media sosial tuduhan dilemparkan kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) membawa empat pesawat dipenuhi penumpang dari India tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Mei lalu.

Dakwaan seorang pengguna Facebook menimbulkan kegusaran segelintir masyarakat Malaysia yang beranggapan kes pertama kemasukan COVID-19 dikenali sebagai B.1.617.1 di Malaysia berpunca dari India. Virus ini merupakan hasil mutasi berganda dari virus asal.

Walaubagaimanapun, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua kapal MAB tidak membawa langsung penumpang dari mana-mana negara luar berikutan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu.

“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.” –  Menteri Pengangkutan Malaysia / Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Beliau menjelaskan semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia. Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini. Semua penerbangan yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo.
Tambah Wee Ka Siong, setakat ini penerbangan pesawat kosong dan hanya membawa muatan berupa barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.
Sementara itu, beliau menegaskan mengubah pesawat penumpang kepada pesawat kargo (P2C penumpang-ke-kargo) bukanlah perkara yang asing bagi MAB semenjak sebelum berlakunya pandemik COVID-19 ini.
Merujuk pada laman rasmi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu yang masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021 didapati positif COVID-19 dan dikesan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama. Kes ini telah diasingkan dan sedang menerima rawatan susulan.
Individu tersebut dikenalpasti dijangkiti varian Indian B.1.617.1 (P1) hasil analisis jujukan genom penuh (WGS).
Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India, dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April 2021 berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan.
Kes ini telah disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan terkawal.
Menurut Wee Ka Siong dalam kenyataan beliau, pelancong bukan warganegara Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia buat masa ini.

Namun, halangan ini terkecuali untuk warganegara Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan,”  –  Menteri Pengangkutan Malaysia / Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin ( 3/5),  pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuat kuasa 28 April 2021.

Beliau turut menjelaskan, rakyat Malaysia sama ada pelajar dan pekerja, keluarga dan pasangan bukan rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori selama 14 hari di pusat yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan itu meluahkan rasa kesal dengan penyebaran beberapa maklumat salah mengenai status penerbangan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di seluruh dunia dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

Rakyat Malaysia seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membantu kerajaan memerangi wabak pandemik COVID-19 ini dan bukannya mengadu domba mengajak orang ramai saling bertelagah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah- belahkan orang ramai).” (Surah al-Qalam, ayat 10-11)

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button