KerohanianPendidikanSemasa

Apa itu Haji Akbar ?

Hari Arafah atau hari wukuf merupakan kemuncak bagi ibadah haji. Sangat beruntung jemaah haji yang terpilih oleh Allah SWT untuk menunaikan haji pada tahun ini apabila Kerajaan Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah jatuh pada hari Jumaat 8 Julai.

Ibadah haji tahun ini terasa sangat istimewa setelah dua tahun dunia dilanda pandemik Covid-19 kini tanah haram itu dibuka semula bagi melaksanakan ibadah haji. Malah, ibadah haji tahun ini istimewa kerana hari wukuf jatuh pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari.

Justeru itu, betapa beruntungnya jemaah haji pada tahun ini kerana berpeluang mendapat kelebihan berwukuf pada hari Jumaat. Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan Haji Akbar?

Merujuk pada portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam Al-Quran ada menjelaskan Allah SWT telah menamakan satu hari dengan nama hari Haji Akbar (hari haji yang paling agung).

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan inilah perisytiharan dari Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada hari haji yang terbesar”. (Surah al-Taubah :3)

Nabi Muhammad SAW, para sahabat RA, dan para tabi’in ada memberikan beberapa pendapat tentang makna haji Akbar seperti berikut iaitu:

Pertama, haji Akbar adalah hari Arafah, daripada Ikrimah berkata yang bermaksud:

“Ibn Abbas RA mengatakan: “Haji Akbar adalah hari Arafah.” 

Kedua, hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah juga dikenali sebagai Haji Akhbar, Ibn Umar RA beliau berkata yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”. (Riwayat Abu daud) 

Melalui dua pendapat di atas, para ulama’ mengatakan yang dimaksudkan dengan haji Akbar adalah hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah atau hari raya korban sepertimana pendapat yang kedua.

Namun, pada ketika ini kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa, apabila hari wukuf jatuh pada hari Jumaat ia merupakan Haji Akbar. Ternyata pendapat tersebut tidak benar, ia bertepatan dengan pandangan Syeikh al-Mubarakfuri yang memberi peringatan terhadap pandangan tersebut.

Beliau berkata yang bermaksud:

“Telah tersebar dan masyhur dalam kalangan orang awam bahawa apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat maka ia adalah Haji Akhbar. Kenyataan atau pemahaman ini adalah tidak mempunyai asal sama sekali. (Tuhfah al-Ahwazi)

Namun begitu, Ibn Qayyim menjelaskan beberapa keutamaan dan kelebihan sekirannya hari Arafah jatuh pada hari Jumaat.

Umum mengetahui hari Jumaat merupakan hari yang terbaik dalam seminggu serta hari Arafah dan hari korban adalah hari yang terbaik dalam setahun.

Justeru itu, jika hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, ia lebih utama daripada semua hari lain ia disebabkan oleh beberapa perkara seperti:

  • Berkumpulnya dua hari yang merupakan hari terbaik.
  • Hari Jumaat juga terdapatnya waktu doa dimakbulkan. Kebanyakan ulama berpandangan bahawa ia adalah saat terakhir selepas Asar dan orang yang berwukuf di Arafah semuanya berada di sana untuk berdoa dan memohon kepada Allah SWT.
  • Rasulullah SAW juga mengerjakan haji dan berwukuf pada hari Jumaat.
  • Orang-rang di seluruh dunia berkumpul di Arafah untuk mendengar khutbah dan melakukan solat Jumaat, ia bertepatan dengan perhimpunan jemaah haji di Padang Arafah. Di sini jua, umat Islam berkumpul di masjid-masjid mereka dan berdoa kepada Allah, yang mana ia tidak berlaku pada hari selain Jumaat.
  • Hari Arafah merupakan hari raya bagi mereka yang berada di Arafah kerana mereka berkumpul di sana, dan dimakruhkan bagi mereka untuk berpuasa tidak seperti orang di kawasan lain.
  • Ibadah yang dilakukan oleh umat Islam pada hari Jumaat dan malam Jumaat adalah lebih baik yang dilakukan pada hari-hari yang lain.
  • Disebabkan kemulian dan kebesaran hari Jumaat di sisi Allah, dan Allah jualah yang telah memilih hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain, maka tidak dapat diragukan lagi bahawa berwukuf di Arafah pada hari Jumaat ini adalah lebih baik berbanding hari-hari lain.Oleh sebab itulah, berwukuf pada hari Jumaat lebih utama daripada hari-hari lain. Justeru itu, Haji Akbar adalah hari Nahr iaitu Hari Raya Korban yang disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun.

Kesimpulannya pemahaman bahawa hari wukuf yang bertepatan dengan hari Jumaat merupakan haji Akbar adalah tidak tepat sama sekali.  

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button