KemanusiaanRohingyaSemasa

“Syukur Malaysia terima saya”- Pelarian Rohingya

Saksi tentera bunuh, rogol, seksa ahli keluarga dalam sekelip mata

SERDANG : “Rumahku, Syurgaku” – Istilah yang sering kita dengari di bibir komuniti sekeliling kita. Namun, pernah kah kita berfikir sejenak, ada saudara Islam kita di luar sana tiada rumah untuk berteduh, tiada makanan untuk mengisi perut, tiada keluarga untuk didakap.

Rathedaung, Jun, 2012 –  Tarikh itu membawa Muhamad Sadiq Abu Tahir, 33, kembali menyingkap titik hitam kisah perjalanan beliau dari Rakhine yang dahulunya dikenali sebagai Arakan kawasan penempatan etnik Rohingya yang kini dicabuli kerajaan Myanmar. Jam 3:00 pagi di kala kita sedang lena dibuai mimpi, lain pula dengan Sadiq yang menjadi saksi kekejaman tentera Myanmar menceroboh kediaman beliau dan abangnya.

Dalam rumah agam yang serba kekurangan itu, tentera bersenjata yang tidak berhati perut membunuh keluarga abangnya. Seorang wanita dan dua orang kanak-kanak turut menjadi mangsa. Bunyi beberapa das tembakan mengejutkan  Sadiq dari tidur. Lantas, dia berlari menyelamatkan diri. Selaju kaki melangkah selaju itu ikhtirat hidup difikirkannya. Pokok kelapa di depan mata mencetuskan ilham untuk Sadiq tidak mati di tangan tentera rejim. Dia memanjat pokok kelapa setinggi mana yang boleh, demi mengelak diri dikesan pihak tentera.

Dari atas  pokok Sadiq melihat wanita di kampungnya diperkosa, diseksa pukul tanpa belas kasihan. Dua mata Sadiq menjadi saksi dua anak buahnya ditembak sebanyak empat kali. Tiada belas kasih, tindakan kejam tentera rejim merobek jiwa Sadiq. Marah berbaur sedih, bagai tangan terikat dia hanya mampu menatap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.  Sekujur tubuhnya menggigil sering kali teringatkan peristiwa berdarah itu.

“Saya dengar bunyi tembakan sekali. Bila saya naik atas pokok kelapa, saya dengar lagi bunyi tembakan empat kali. Masa itu, saya tidak lagi dengar suara abang, isteri abang dan anak-anak”. – Sadiq / Pelarian Rohingnya

Kekejaman pihak tentera Myanmar tidak berakhir di situ. Usai, membunuh, disimbah pula minyak tanah lalu dibakar kawasan kediamannya, membakar segala yang ada di kampung kelahirannya.

Asap kebakaran yang tebal membuatkan Sadiq lemas di atas pokok kelapa. Beliau turun dan melarikan diri. Hampir ditangkap, namun, Sadiq berjaya lolos. Parang dilibas tentera Myanmar singgah di tumit beliau.

“Saya nampak tentera Myanmar tuang minyak dan bakar rumah abang saya. Saya sudah tidak ada rumah – Sadiq / Pelarian Rohingnya

Dengan kudrat yang ada, Sadiq bergegas melarikan diri ke tempat yang lebih selamat. Sebelum berhijrah ke bumi Malaysia, Sadiq menaiki bot menetap di negara Thailand. Walau bagaimanapun, kedatangan mereka tidak disambut baik negara itu. Perjalanan diteruskan sehinggalah tibanya mereka di Malaysia.

Sadiq meluahkan kesyukuran kepada kerajaan Malaysia atas penerimaan etnik Rohingya ke negara ini. Dalam sesi temu bual itu kelihatan kedua-dua mata Sadiq berkaca saat beliau melontarkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga buat masyarakat Malaysia.

Data pelarian Rohingya  di seluruh dunia

Pergerakan pelarian etnik Rohingya bermula seawal Ogos 2017 akibat daripada keganasan tentera Myanmar bertindak menghalau penduduk majoriti Islam Rohingnya yang menetap di Rakhine, Myanmar. Merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian atau United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), jumlah pelarian etnik Rohingnya berhijrah ke negara asing dianggarkan 671,000 direkodkan dalam tempoh lima tahun.

Manakala, laman portal BBC mengeluarkan laporan terkini (22 Februari 2021) daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 740,000 pelarian etnik Rohningya beralih ke negara jiran, Bangladesh yang terletak di sekitar Kutupalong dan Nayapara. Tidak ketinggalan wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas turut mencari tempat tinggal yang lebih selamat.

Sementara itu, terdapat juga komuniti etnik Rohingya yang lain berusaha memasuki sempadan Malaysia dan Indonesia. Dalam cubaan menggunakan kenderaan laut, berbagai rintangan yang terpaksa diharungi sehinggakan seramai 200 pelarian Rohingya dipercayai mati atau hilang di tengah-tengah lautan.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Organisasi Solidariti Rohingya (RSO), N.R. Abdur Rashid, jumlah pelarian Rohingya berdaftar dan tidak berdaftar di setiap negara ialah Bangladesh seramai 1.6 juta ( 1,4 juta berdaftar dan 200,000 tidak berdaftar), Arab Saudi (470,000), Pakistan mencatatkan sejumlah 450,000, Malaysia di tangga kelima sebanyak 200,000 ( jumlah berdaftar dan tidak berdaftar adalah sama iaitu 100,000 masing-masing), India (50,000), Emiriah Arab Bersatu (UAE) seramai 50,000.

Thailand, Australia, Amerika Syarikat masing-masing mencatatkan 5,000 pelarian Rohingya, Kesatuan Eropah (3,000), Jordan (1,300), Indonesia seramai 1,200. Manakala, Kanada sebanyak 1,100, Nepal 800, Sri Lanka 650 dan akhir sekali, Jepun merekodkan sejumlah 560 pelarian Rohingya menetap di negara tersebut.

Sumber : Organisasi Solidariti Rohingya (RSO), Infografik oleh Anadolu Agency
Pelarian Rohingya di Malaysia

Di Malaysia,  UNHCR  melaporkan sehingga pada akhir Januari 2021, seramai 178,710 pelarian Rohingya berdaftar di bawah agensi PBB itu berada di Malaysia. Sekitar 102,350 etnik Rohingya menetap di Malaysia.

Sebanyak 68% pelarian adalah lelaki, sementara 32% adalah wanita, manakala  kira-kira 45,630 orang kanak-kanak pula di bawah umur 18 tahun.

Antara usaha UNHCR Malaysia dalam melindungi pelarian etnik Rohingya adalah dengan memberi kad pengenalan UNHCR sebagai satu bentuk perlindungan dan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Selain itu, bagi menjamin kesihatan pelarian etnik ini, UNHCR dengan usaha sama kerajaan Malaysia memberi perlindungan insurans kesihatan iaitu Insurans Perubatan Pelarian Rohingya (REMEDI).

Jumlah pelarian di setiap negeri di Malaysia. Sumber : UNHCR

Biarpun dibantu dari segenap sudut namun keistimewaan ini bukanlah kayu ukur untuk kita tidak terus membantu saudara sesama Islam yang jauh serba kekurangan berbanding kita.

Mereka bukan sahaja hidup dalam penuh ketakutan, malah, nyawa ahli keluarga diragut tragis di depan mata, mencari bumbung untuk berteduh di bumi kelahiran sendiri. Namun, dihalau ke luar sehelai sepinggang.

Pada akhir temu bual dengan Sadiq itu beliau mengatakan “Saya mahu pulang” menunjukkan hasratnya yang ingin kembali ke negara asalnya apabila semua keadaan sudah kembali reda.

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button