Covid19KemanusiaanSemasaSyria
Trending

Syria, antara senyum yang pudar dan tangisan yang dingin (Bahagian 2)

Penunggu comel pohon zaitun

A’zaz : Pada awalnya, suasana di ladang zaitun itu membuatkan ramai antara kami tidak pasti bagaimana mahu bereaksi. Ia terlihat meriah tetapi dengan sebab yang mengharukan. Ada wajah-wajah penuh harapan yang menunggu girang makanan percuma yang akan diedarkan. Walaupun matahari terselindung awan, dan suasana dingin sudah turun melepasi 15 darjah celcius dan apabila angin bertiup ia mula turun ke bawah 10 darjah celcius, tetapi mereka tidak ada pilihan selain sabar dan menunggu. Ini belum suhu pada waktu malam yang lebih dingin sehingga dua darjah celcius.

Namun tetap ada antara kami yang fokus. (Dr) Sani antara yang fokus pada matlamatnya. Walaupun sedih tetapi sebagai ketua, dia tetap diam menahan rasa sebak melihat anak-anak Syria, dan demi menjaga keselamatan kami. Paling utama memerhati bagimana lagi MAPIM Malaysia dapat membantu. Bukan sekadar memberi makanan, tetapi agar seluruh pelarian ini tidak perlu lagi menjadi penunggu pohon zaitun.

Apabila sedar kedatangan kami, anak-anak comel pula mula menyerbu dan menyapa. Bekas-bekas yang mereka bawa ditinggalkan di bawah pokok zaitun. Wajah malas-malas menunggu, berubah menjadi wajah yang rajin tersenyum dan penuh ceria.

Mungkin mereka melihat kami sebagai sekumpulan manusia yang aneh. Wajah berbeza dengan mereka, juga pakaian seragam MAPIM Malaysia yang tidak pernah mereka lihat. Bertanya macam-macam perkara dalam bahasa Arab. Mana yang faham bahasa Arab seperti Maulana Helmi, (Dr) Sani, Zulfadli, dan Kapten Nik, mudah menjawab. Mana yang lain hanya mampu tersenyum di balik topeng, dan sesekali memberi isyarat bahawa kami tidak mengerti bahasa, tetapi kami tetap akan berusaha membantu.

Anak-anak itu sangat gembira dengan Heliza Helmi yang sangat pandai mengambil hati. Semuanya menjadi ceria. Senyum mereka berubah menjadi, tawa pendek, dan berubah lagi menjadi ketawa yang panjang.

Walaupun begitu waktu ini ada antara kami sudah merah matanya. Sebak memang tidak dapat ditahan. Melihat pada skrin, ataupun membaca tidak sama rasanya apabila berada sendiri di sana. Berkongsi udara, berkongsi tanah, berkongsi sejuk cuaca, tetapi hanya nasib yang tidak mampu dikongsi bersama.

Kami berusaha melayani dan bertanya khabar seramai mungkin anak-anak yang mendekat. Dengan niat mahu membesarkan hati anak-anak ini.

Namun hakikatnya, merekalah yang sebenarnya membesarkan hati kami dengan senyum dan tawa mereka. Gigi kuning, mata coklat cair, dan suara gemersik mereka cukup memberikan kami harapan bahawa Syria masih punya masa hadapan.

“Malaysia? Turki?” Antara soalan popular mereka. Mereka keliru kerana melihat pada pakaian kami, ada lambang bendera Turki dan Malaysia.

“Malaysia.”

Namun tidak semua pertanyaan yang keluar mesra. Ada juga yang bertanya dengan keras yang ditahan-tahan.

“Mengapa ambil gambar kami?” tanya dua orang remaja yang berjerawat kecil. Rambut mungkin perang semula jadi. Pada nadanya kami tahu mereka ada punya pengalaman yang banyak berhadapan dengan sukarelawan yang sering hadir ke situ, tetapi hanya demi mengambil gambar.

Maulana Helmi tenang menjawab dengan hikmah, “Ada masanya kami datang dengan makanan, ada masanya kami datang membawa bantuan, dan kali ini kami datang dengan kedua-duanya sekali, tetapi kami datang juga mengambil gambar kalian.”

“Kenapa?”

“Kami mahu memberitahu dunia, covid adalah bencana, tetapi di sini, di tempat kalian juga adalah satu bencana yang sangat besar. Kami mahu dunia kembali ingat kepada kalian dan kembali menghulurkan bantuan.”

Remaja itu mengangguk-angguk. Wajah tadinya keras menjadi akur.

“Kalau bawa duit tidak mengapa.”

Namun risau kami kepada remaja itu bukan pada soalannya, tetapi pada batang tubuhnya sendiri. Mereka nampak sangat tidak terurus. Kami sangat yakin ini semua ada kaitan dengan keadaan khemah mereka yang sangat usang, tiada pekerjaan, tiada wang, dan lebih utama tiada lagi emak ayah di sisi mereka.

Apabila anak remaja itu berlalu, dia meninggalkan kami rasa sebak yang semakin dalam. Kerumunan anak-anak comel yang tadi memberi kekuatan kepada kami, mula membuatkan kami berasa semakin resah. Anak-anak comel ini, mungkinkah apabila dewasa nanti, keceriaan mereka hilang lalu berganti serabut pada wajah tanda mereka itu sudah penat melawan kemiskinan dan kebuluran?

Pada ketika soalan itu baru hendak larut, anak-anak comel ini kembali berlari menuju ke bekas-bekas makanan di bawah pokok zaitun. Lori bantuan makanan sudah tiba. Kami cukup kagum, mereka mampu berbaris dengan baik bersama dengan rakan-rakan, ada yang bersama dengan para penjaga. Ini kerana ramai antara mereka adalah yatim piatu, dijaga nenek dan sanak saudara. Bayangkan bagaimana rasanya hidup sebegitu.

Lori bantuan makanan tidak ada masalah untuk parking dan menurunkan bekas makanan kerana pelarian Syria ini tidak menyerbu dan membuat huru-hara. Jadi semuanya dapat dilakukan dengan aman dan pantas. Ada beberapa barisan. Ada barisan khusus untuk para lelaki dewasa, ada barisan khusus untuk kaum wanita. Manakala anak-anak berada di hadapan sekali.

Untuk hari ini, menu makanan ada dua. Pertama nasi yang dicampur dengan kekacang. Jadi ia terlihat lebih menyelerakan dan bersaiz lebih besar. Yang kedua adalah sup lentil. Atau bahasa kita kacang kuda. Ditambah bawang, rempah, dan juga daging. Warnanya menarik selera dan baunya membangkitkan selera makan. Malah kami yang menghidunya ikut malu sendiri, kerana ikut berselera.

Untuk hari-hari biasa pengedaran bantuan makanan ini diuruskan oleh Agensi Wakaf Kerajaan Turki (TDV), rakan kerjasama rasmi MAPIM Malaysia. Dan hari ini, kami ikut membantu mengedarkan makanan. Suasana menjadi kembali riuh. Mereka tetap mahu menambah walaupun setiap orang ada had nya yang tersendiri. Mujur mereka masih bertimbang rasa, dan selepas pegawai TDV berkata cukup dengan tegas, mereka akan berundur.

Lain cerita pula dengan anak-anak. Mereka hanya menurut, tidak mendesak. Mungkin kerana tidak merasai tekanan yang dirasakan oleh ibu bapa, para penjaga, datuk nenek, yang perlu memastikan setiap anak atau saudara di bawah mereka terisi perutnya pada hari itu dan nyenyak tidurnya pada malam hari.

Selepas mengambil bahagian masing-masing, anak-anak comel tadi kembali duduk di bawah pohon zaitun, menunggu abang, ayah dan ibu mereka pula. Untuk yang yatim piatu, menunggu penjaga mereka dengan rasa yang tidak dapat digambarkan. Pada wajah mereka kita tahu, ada kepuasan yang sangat luar biasa. Mereka berjaya untuk hari ini, dan walaupun esok belum pasti, mereka tidak peduli. Mereka sudah terlalu lama hidup hanya untuk hari ini, dan esok jangan difikirkan lagi. Untuk esok, fikir hanya ketika mata sudah pasti terbuka.

Sedangkan mereka adalah masa hadapan Syria, mereka perlu berfikir bukan sahaja tentang esok tetapi juga puluhan tahun yang mendatang dan bukan sekadar penunggu comel di bawah pohon zaitun.

    

 

Foto : Media MAPIM – Aimi Ramli / Zulfadli / Zaidi

TEAM RESCUESYRIA MAPIM SUDAH BERADA DI SYRIA MENGURUS INFAQ ANDA UNTUK
KAMI SAMPAIKAN SENDIRI KEPADA SAUDARA SYRIA DISINI!

MAPIM Malaysia menjemput sahabat peduli Ummah untuk sama menjayakan Misi Bantuan Khas ini kerana kutipan Dana masih lagi berkurangan untuk sasaran RM6,000,000. Justeru berikut bantuan terdesak yg diperlukan:
– RM250 bantuan selimut
– RM600 saham wakaf rumah pelarian
– RM500 bantuan ubat-ubatan
– RM250 bantuan food pack 1 bulan
– RM250 bantuan alat pemanas
– RM500 wakaf saham bina sekolah #40
– RM500 bantuan kitchen/kilang roti MAPIM
____
2 CARA MENYUMBANG
KE DANA BANTUAN KECEMASAN
MISI RESCUE SYRIA (MAPIM)
_____
1. Saudara yg prihatin boleh terus menyumbang melalui bank pilihan secara online (FPX):

INFAQ SEKARANG ▶️ www.rayuansyria.com

ATAU

2. Salurkan Sumbangan
Menerusi Maybank
SYRIA EMERGENCY APPEAL (DANA MAPIM)
Akaun No : 562834636987

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button