EkonomiSemasa

Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta dilancar

Bantu usaha pemulihan negara kesan Covid-19

Sukuk Prihatian bernilai RM500 juta adalah hasil permintaan dari pelbagai pihak untuk turut sama membantu di dalam usaha pemulihan negara mengharungi kesan penularan COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata di bawah strategi 6R Kerajaan yang merangkumi enam pendekatan iaitu ‘Resolve; Resilience; Restart; Recovery; Revitalise dan Reform’.

Hasil penerbitan sukuk ini, katanya, akan digunakan untuk langkah pemulihan, iaitu pendekatan yang keempat.

Tengku Zafrul menjelaskan, keuntungan dari sukuk itu akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun.

Dalam masa dua tahun, katanya, pelabur boleh memilih untuk menderma jumlah langganan kepada Kumpulan Wang COVID-19, dan jumlah ini akan diberi potongan cukai.

“Dengan penerbitan sukuk ini dan juga sokongan rakyat, Malaysia akan segera pulih dan kemakmuran akan terus dikecapi bersama.

“Sektor perbankan juga sekali lagi bersatu hati dalam menawarkan manfaat kepada rakyat dan pihak korporat, iaitu dari segi kemudahan melanggan kepada terbitan sukuk oleh kerajaan,” katanya pada majlis perasmian Sukuk Prihatin di Putrajaya hari ini.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terbitan sukuk patuh syariah adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 5 Jun lalu.

Tengku Zafrul berkata, bon Islam itu diharapkan dapat membantu usaha menjamin kesejahteraan hidup pihak berkepentingan yang disasarkan.

“Ini adalah penerbitan sukuk yang pertama oleh kerajaan yang boleh dilanggani atau dibeli seratus peratus melalui perkhidmatan perbankan digital, menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

“Jumlah minimum bagi pelaburan pertama ialah RM500, dan kadar keuntungan adalah dua peratus setahun, selama dua tahun.

“Ini adalah kadar yang kompetitif memandangkan ia ditetapkan selama dua tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan, penerbitan sukuk bukanlah sesuatu yang asing kerana ketika Muhyiddin menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau juga ada melancarkan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Socially Responsible Investment) yang pertama di dunia bernilai RM100 juta, pada 2015.

Sukuk SRI itu katanya, telah diterbitkan oleh sebuah syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd.

Lantaran itu katanya, sokongan berterusan Perdana Menteri sangat menggalakkan, terutamanya kepada pembangunan sukuk SRI di Malaysia.

-Berita Harian

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button