KemanusiaanSemasa

Suka rela menabur bakti kepada komuniti Islam, `Uncle Hashim’ dianugerahkan pingat `Order of Australia’

Berdekad berkhidmat untuk komuniti ummah Canberra

CANBERRA : Semangat dan kerja keras beliau dalam membantu komuniti Islam di Australia,  seorang rakyat Malaysia, Abdul Rahman Hashim atau lebih dikenali dengan nama mesranya  ‘Uncle Hashim’ telah dianugerah pingat Order of Australia (OAM) sewaktu sambutan Hari Australia pada 26 Januari lalu.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Gabenor Jeneral Australia kepada Abdul Rahman, 79 tahun atas sumbangan beliau dalam mengambil berat komuniti setempat dengan kerja-kerja sukarelawan.

Di sebalik usia yang menghampiri lapan dekad, Abdul Rahman terus menabur bakti dan merupakan antara individu yang terkenal di Australia kerana beliau dengan sukarelanya telah membantu komuniti Islam serta rakyat Malaysia di Canberra setiap tahun.

Memetik akhabr komuniti Islam Australia, tiga tahun selepas penghijrahan beliau ke Australia pada tahun 1969, beliau telah bertindak menubuhkan  Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha dalam menyatukan rakyat Malaysia di Canberra.

“Ideanya adalah untuk menjaga mereka. Masalah utama yang sering dihadapi adalah di sana tiada daging halal.  Jadi saya bersama-sama beberapa rakan telah berbincang dengan kerajaan persekutuan dan mereka bersetuju menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah,” – kata beliau kepada stesen radio ABC menerusi saluran YouTube Anil Sabah Al Ahmad Masjid.

Bukan sahaja berkhidmat kepada komuniti Malaysia, Uncle Hashim juga mempunyai jawatan yang tinggi dalam Perkhidmatan Awam Australia dari tahun 1972 ke 1998 , termasuk jawatan kanan diplomatik di luar negara.

Uncle Hashim. – Foto ihsan Australian Muslim Times

Selain itu, sepanjang berada di Canberra beliau turut menjadi salah seorang sukarelawan di hospital dengan menjaga pesakit yang beragama Islam.

Aktiviti sukarelawan tersebut difahamkan bermula sewaktu isterinya menerima rawatan bagi penyakit kanser.

The Vocket melaporkan, aktiviti sukarelawan beliau difahamkan turut diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam Australia dan telah menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Felow Paul Harris pada 1987 ketika beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra.

Tambahan lagi, beliau turut terbabit di dalam pelbagai persatuan termasuklah Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sewaktu zaman muda beliau di Universiti Canberra.

Usaha terkini beliau adalah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care iaitu sebuah platform di mana ia membantu masyarakat Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan.

Objektif tersebut adalah bagi menyediakan tempat yang selesa serta menanggung rawatan perubatan sepenuhnya bagi warga emas yang beragama Islam.

Walaupun usia semakin senja, beliau dipercayai masih aktif melakukan aktiviti sukarelawan seperti mengajar komuniti Islam di Canberra membaca Al-Quran serta melakukan upacara pengebumian.

“Kami telah melatih mereka tetapi kebanyakan daripada mereka agak keberatan kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis mayat, sama ada normal atau kematian yang disebabkan kemalangan, jadi mereka memerlukan masa untuk menangani perkara tersebut,” – `Uncle Hashim’

Secara keseluruhannya, Uncle Hashim telah mengasaskan enam pertubuhan kebajikan kepada pelajar, terutama pelajar Islam di luar negara serta lima badan komuniti bagi kemajuan orang-orang Islam dan Malaysia.

Kini beliau sedang menjayakan AMMAR – Rangkaian Khidmat Komuniti kepada Masyarakat Islam Australia, yang beliau juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya.

Uncle Hashim sangat dikenali kerana diplomasinya, kejujuran, integriti dan dedikasinya memberi khidmat kepada sukarelawan kemanusiaan.

Sebagai duta tidak rasmi kepada masyarakat Malaysia di Australia, beliau juga disenangi oleh komuniti dan pelajar malah kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara itu, untuk diajak berkongsi segala aspek permasalahan membabitkan isu sosial, agama, budaya dan sebarang acara.

Sehubungan  itu, pengiktirafan kerajaan Australia kepada beliau sangat bertepatan atas jasanya dan diberikan ganjaran daripada Allah ke atas segala jasa dan bakti beliau.

 

 

Related Articles

Back to top button