KerohanianSemasa

Siasatan ajaran ‘Agama Melayu’ di peringkat akhir – Ahmad Marzuk

Lafaz syahadah pelik termasuk disambung pengakuan "Aku Melayu" sebanyak tujuh kali

TUMPAT: Siasatan berhubung agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang menolak ajaran Islam, kini berada di peringkat akhir dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata sebaik siasatan selesai, pihaknya akan membuat pengumuman mengenainya.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) untuk menyiasat memandangkan kes berkenaan dilaporkan di Selangor.

“Sekiranya siasatan mendapati wujud penyelewengan ajaran sesat, JAIS akan mengambil tindakan lanjut termasuk proses pendakwaan di mahkamah.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat untuk menghukum seseorang individu berdasarkan video yang tular.

“Sebaliknya perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat. Ini kerana soal penyelewengan akidah hanya boleh dinilai pihak tertentu, bukannya semua orang boleh tentukan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Tumpat, Dr Aminah Rusmin Mohd Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Prof Madya Dr Amir Shaharuddin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan meneliti tindakan sewajarnya berhubung isu agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang menolak ajaran Islam.

Kewujudan ajaran sesat itu mendapat perhatian Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.

Beliau mendapati ajaran itu mengandungi lafaz syahadah pelik termasuk disambung pengakuan Aku Melayu sebanyak tujuh kali.

Menerusi media sosial, pendirian ‘Agama Melayu’ itu dikatakan menolak ajaran Islam dengan dianggap ia Islam Arab.

/ Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button