Covid19Semasa

Setiap 7:45 malam baca Quran ramai-ramai di Pusat Kuarantin

Mengisi rohani, sokongan kepada pesakit Covid-19

KOTA BHARU :  [VIDEO] Enam daerah di Kelantan kini berada dalam zon merah susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu sejak lebih seminggu lalu.

Enam daerah berkenaan adalah Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Bachok.

Peningkatan kes itu menyebabkan Kerajaan Kelantan baru-baru ini menambah dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri itu.

Dua pusat kuarantin baharu itu merupakan bangunan di Dewan Jubli Perak dan asrama Kolej Kejururawatan di Kota Bharu.

Tular di media sosial mengenai video menunjukkan salah seorang petugas kesihatan yang berada di PKRC  Dewan Jubli Perak, Kota Bharu mengalunkan suara merdu membaca Al-Quran.

UMMAHTODAY difahamkan setiap jam 7:45 malam bacaan tadarus Al Quran akan dibacakan bersama para pesakit di PKRC berkenaan sebagai pengisian rohani pesakit dan dan sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang pesakit

Video itu dikongsi menerusi laman media sosial Mohd Awal Din Mohd Nazr.

Beberapa orang pesakit yang sedang dikuarantin juga dilihat turut membaca ayat suci al-Quran di katil masing-masing.

PKRC Kuala Krai merupakan PKRC pertama yang dibuka, dengan mempunyai 116 buah katil.
PKRC kedua,  yang dibuka adalah di ILKKM Kubang Kerian dengan 92 buah katil manakala, PKRC ketiga ialah di Dewan jubli Perak dengan sebanyak 120 buah katil disediakan.

Pengarah PKRC Dr Azman Yacob berkata, bacaan ayat suci diperdengarkan menerusi sistem pembesar suara yang terpasang dalam dewan itu oleh Mohd Awal Din yang berada di tingkat atas (clean area) kira-kira setengah jam selepas solat Maghrib.

“Bacaan Yasin juga dilakukan beramai-ramai pada malam Jumaat sebagai pengisian rohani pesakit Covid-19 yang sedang menjalankan kuarantin di sini.”

“Ia adalah inisiatif kakitangan JKNK sendiri yang melihat PKRC perlu ada pengisian selain menjadi lokasi kuarantin semata-mata di samping memberi sokongan berterusan kepada pesakit,”

Dr Azman berkata, PKRC yang kini memuatkan 120 pesakit Covid-19 turut dibekalkan dengan WiFi yang boleh digunakan oleh pesakit melayari internet selain bagi keperluan kakitangan sendiri.

Menurutnya, pengisian aktiviti riadah juga disediakan yang mana set permainan congkak untuk pesakit wanita manakala karom pula untuk lelaki bagi mengisi masa lapang pesakit yang perlu menjalani tempoh kuarantin sehingga 10 hari.

“Setakat ini tiada sebarang masalah yang dihadapi sama ada di pihak pesakit atau kakitangan sendiri sepanjang menjalani penugasan, malah segala kelengkapan yang disediakan sangat memuaskan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata, inisiatif yang dilakukan di PKRC sebagai pengisian pesakit serta kakitangan yang bertugas dilihat sangat bagus.

Beliau berkata, bacaan ayat suci al-Quran yang diperdengarkan setiap malam boleh meningkatkan semangat pesakit yang mungkin ada dalam kalangan mereka kurang bersemangat.

“Jangka masa kuarantin selama 10 hari memang agak panjang dan tempoh itu jika dimanfaatkan sebaiknya, pesakit akan lebih tenang dan mampu menjalani kuarantin dengan baik,” katanya.

Sama-sama kita mendoakan agar mereka yang telah mendapat jangkitan akan segera sembuh.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button