Covid19Semasa

Semua sektor perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam

Cadangan gubal Ordinan Darurat tingkat jumlah kompaun

KUALA LUMPUR : Waktu operasi semua sektor perniagaan yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata antaranya ialah kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang diumumkan sebelum ini.

“Sebelum ini, semua sektor (terbabit) dibenarkan beroperasi hanya sehingga jam 8:00 malam.  Setelah Kementerian Kesihatan membuat penilaian risiko, sidang Majlis Keselamatan Negara bersetuju tempoh perniagaan restoran dan kedai lain dilanjutkan sehingga 10 malam.” – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) /Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

“Kita tahu banyak kekeliruan yang menyukarkan dari segi penguatkuasaan kerana waktu operasi yang berbeza-beza dan permohonan daripada sektor perniagaan terlibat untuk melanjutkan tempoh operasi perniagaan mereka,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau juga berkata sektor perhutanan dan kayuan serta rantaian yang melibatkan pembalakan dan lain-lain beroperasi seperti biasa bermula esok.

Katanya kerajaan juga sedang menggubal Ordinan Darurat bagi meningkatkan jumlah kompaun terhadap individu dan syarikat yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) semasa PKP.

Datuk Seri Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar meningkatkan disiplin diri dalam mematuhi arahan ditetapkan dan tidak menunggu sehingga pihak berkuasa mengambil tindakan.

Mengulas mengenai pematuhan SOP, katanya Polis Diraja Malaysia menahan 494 individu yang menyaksikan sejumlah 464 orang dikompaun, 29 direman dan seorang diikat jamin. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button