Semasa

‘Semarak Cinta Rasul’ ganti sambutan Maulidur Rasul Kebangsaan

Pelbagai acara disusun JAKIM

PUTRAJAYA : Pelbagai rancangan dan acara disusun  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata inisiatif norma baharu dilakukan walau sambutan itu tidak dapat diadakan seperti biasa.

Justeru itu, dengan pembatalan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M, JAKIM merangka inisiatif seperti program siri Semarak Cinta Rasul melalui stesen televisyen TV1 bermula pada jam 9 malam hari ini hingga 3 November hadapan.

Kata beliau langkah itu adalah bagi menjaga kemasalahan rakyat dalam usaha membendung pandemik wabak COVID-19.

Katanya, penganjuran program Semarak Cinta Rasul juga bertujuan bagi meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Rasulullah SAW, sekali gus dengan menghayati sirah dan sunah baginda.

Program dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014 iaitu Ahamd Tirmizi Ali, serta tayangan video khas hasilan Ibrah bertajuk Muhammad.

“Selain itu, program Bual Bicara dengan ahli panel terdiri daripada pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Prof. Madya Dr Nik Salida Nik Saleh, serta pendakwah Syed Norhisham Tuan Padang.

“Penonton juga akan dipersembahkan dengan nyanyian nasyid oleh kumpulan Hijjaz dan Daqmie; pengumuman penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul; serta penzahiran doa khas untuk memohon agar Malaysia selamat dan aman daripada pandemik wabak COVID-19, di samping kesejahteraan rakyat.”

Datuk Abdul Aziz berkata program Forum Perdana Hal Ehwal Islam (FPEI) Khas yang akan ke udara menerusi TV1 dari jam 9 hingga 10.30 malam esok dengan tema ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.

Beliau juga berkata rancangan bual bicara muzikal Kasih Junjungan akan disiarkan pada jam 10.30 malam ini

Katanya, Kapsul Maulidur Rasul SAW pula bakal menampilkan enam personaliti dakwah bagi membicarakan tajuk Kelahiran Rasulullah SAW, sifat mulia Rasul, Cinta Rasul, Sunah Rasul dalam Kehidupan dan Hadis Riwayat Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, Kempen Malaysia Berselawat di Media Sosial memberi peluang netizen merakamkan selawat dan memuat naik dalam media sosial menggunakan hashtag #SemarakCintaRasul bagi menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW; serta Penerbitan Buletin Khas untuk edaran masjid di sekitar Wilayah Persekutuan dan boleh muat turun melalui laman web JAKIM.

– Siti Zulaikha Yusri 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button