Semasa

Netizen kagum Dr Zulkifli kongsi resepi sambal Nasi Lemak Ikan Tongkol !

BANGI :   Siapa sangka  Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, rupanya minat bidang masakan?
Terbaharu  Dr Zulkifli berkongsi resepi sambal ‘Nasik Lemok Ikang Aye (nasi lemak ikan tongkol)’ di laman Facebook miliknya.
Hantaran yang mendapat jumlah suka sebanyak  32,000 itu  menarik perhatian orang ramai.
Hantaran yang dikongsi group Suami Masak Apa Hari Ini?
“Terima kasih terima saya untuk masuk group ni. Hari ni nak kongsi resepi sambal Nasik Lemok Ikang Aye (sambal nasi lemak ikan tongkol).
“Istimewanya sambal Nasik Lemok Ikang Aye ni, mesti ada ikang aye (ikan tongkol). Kemudian bawang merah, bawang putih, asam keping, gula melaka, asam jawa, belacan, garam, daun pandan, cili boh.
“Kukus ikang aye, lapik dengan daun pisang dan tutup daun pandan. Blend bawang merah, bawang putih, belacan, cili boh dengan air asam jawa. Tumis bahan-bahan ni sampai pecah minyak. Masuk daun pandan, asam keping, gula melaka, garam, gula dan perasa sikit. Masak sampai betul-betul pekat, pecah minyak, kemudian baru masuk ikang aye.” katanya hari ini.
Bukan sahaja berkongsi resepi malah, Ahli Dewan Negara itu siap memberi nasihat buat para suami untuk  membantu para isteri di rumah.
Katanya, kerja-kerja rumah ini bukanlah suatu kewajipan buat si isteri untuk menguruskan atas sebab sifat ihsan dan kasih sayang yang  Allah SWT kurniakan kepada isteri, itu yang mendorong mereka untuk melakukannya.
“Hidup rumahtangga ni kena saling bantu membantu suami isteri.
“Justeru, untuk bahagiakan isteri antaranya kita niat belajar memasak walaupun sikit. Insya-Allah berpahala. Bagus ada group macam ni. Sama-sama belajar masakan semua bangsa. Kita ringankan tugas isteri dan…biasanya kalau suami masak, kadang-kadang lagi sedap dari isteri masak!” kongsi beliau.
Melihat pada ruang komen, rata-rata pengguna Facebook berasa lucu akan perkongsian bekas menteri Malaysia itu.
Antara reaksi pengguna Facebook menerusi hantaran Dr Zulkifli
Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button