Covid19Semasa
Trending

Sekatan Jalan Raya sempadan diaktifkan kembali!

Patuhi arahan rentasan negeri elak dikompaun

KAJANG/NILAI : Tepat jam 12:01 malam tadi bermula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, bagi Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Wartawan UMMAHTODAY mengikuti persiapan sekatan jalan raya di sempadan di antara sempadan negeri Negeri Sembilan dan Selangor.

Seramai lebih 50 pegawai dan anggota PDRM terbabit bersama dua anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Notis pemberitahuan pemeriksaan polis diletakkan di kawasan sempadan SJR ini bagi memeriksa kenderaan yang terbabit dalam perjalanan rentas negeri selama dua minggu dari 14 Oktober hingga 27 Oktober depan.

Semua yang bertugas juga dikehendaki mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal.

Kon-kon keselamatan dan lampu awas biru diletakkan di sempadan serta khemah didirikan bagi peralatan dan kelengkapan pihak PDRM dan ATM yang bertugas.

Terdapat beberapa kenderaan yang merentasi sempadan tengah malam tadi agak terkejut dengan pemeriksaan tengah malam tadi, mungkin tidak mengingati PKPB dikuatkuasakan semula.

Malah ada juga di antara pemandu kenderaan atau majikan yang dilihat sudah bersedia dengan pelaksanaan PKPB, kerana pemandu bertindak  terus menghulurkan surat kebenaran kepada pihak polis yang memeriksa kenderaan.

Kawasan SJR di antara Nilai – Kajang ini merupakan kawasan sempadan yang banyak mengalami perjalanan rentasan negeri kerana kebanyakan penduduk sekitarnya tinggal serta melakukan aktiviti ekonomi dan sosial termasuk persekolahan di antara kedua-dua kawasan sempadan.

Bagi negeri Selangor, lokasi SJR membabitkan laluan sempadan-sempadan Selangor ke Negeri Sembilan, Perak dan Pahang dalam usaha mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata,  SJR juga akan didirikan di sempadan-sempadan daerah polis dalam kontinjen Selangor.

“Dalam menghadapi situasi ini, polis Selangor akan menggerakkan keseluruhan kekuatan yang ada di samping bantuan agensi-agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).” – Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin

Selain penguatkuasaan SJR, polis Selangor akan memperbanyakkan pasukan pemantauan sepanjang PKPB.

“Mana-mana individu yang ingkar pada arahan PKPB ini akan dikenakan kompaun atau diambil tindakan, di samping mengingatkan agar semua mematuhi apa yang digariskan sepanjang PKPB ini,”

Pada Isnin lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sekatan jalan raya itu  diadakan, sama seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan, PKP pada Mac lalu.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan bekerjasama dengan PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini” katanya.

Terdahulu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di daerah Klang, Petaling serta daerah Gombak.



2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain. Sumbangan boleh dibuat melalui:

WWW.BANTUUMMAH.COM

ATAU

menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button