Semasa

Sekatan Jalan raya di sekitar lokasi strategik Selangor

PKP bermula tengah malam tadi

KUALA LUMPUR : UPDATE Kira-kira 120 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh Selangor berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sekatan jalan raya yang dilakukan itu termasuk di laluan keluar masuk bagi rentas daerah dan negeri.

“Bagaimanapun setakat ini, bilangan sekatan jalan raya masih belum diputuskan berikutan dalam proses penyusunan. Jumlah sekatan jalan raya akan diketahui dalam sehari dua lagi.”

“Begitu juga dengan penugasan anggota yang terlibat dengan PKP yang mana kita tidak dapat dedahkan jumlah penglibatan. Kita kini sedang mengatur penugasan dan bergantung pada arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa,” – Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed

Di Petaling Jaya, SJR diadakan di tujuh lokasi, termasuk tiga di Kota Damansara membabitkan Jalan Persiaran Mahagoni, Jalan Persiaran Jati dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata SJR turut diadakan di Jalan 4/56, Gasing Indah; persimpangan lampu isyarat PJU 8/1, Damansara Perdana; dan Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP) di susur keluar ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana.

“Selain itu, SJR diadakan di laluan masuk Plaza Tol Damansara ke Bayu Puteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Hulu Selangor, polis mengadakan sembilan SJR, selain menutup sepenuhnya empat laluan di sekitar daerah itu bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata laluan ditutup sepenuhnya termasuk di jambatan sempadan Tanjung Malim – Hulu Bernam berdekatan Jambatan Sungai Bernam.

“Penutupan juga membabitkan laluan Kilometer (KM) 31.5 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di sempadan Hulu Selangor – Rawang. Sebagai alternatif, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Rawang Bypass atau Jalan Sungai Buaya.”

“Laluan KM13 Jalan Sungai Tua – Ulu Yam di sempadan Hulu Selangor – Selayang dan Jalan Koskan ke Kuala Garing turut ditutup. Pengguna boleh menggunakan Jalan Rawang Bypass sebagai laluan alternatif,” katanya.

Beliau berkata, SJR pula diadakan di KM79 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur berhampiran Dusun Bay; Plaza Tol Tanjung Malim kedua-dua arah; Plaza Tol Lembah Beringin kedua-dua arah, Plaza Tol Bukit Tagar kedua-dua arah dan KM60 Jalan Kuala Kubu Bharu – Bukit Fraser di hadapan Taman Selesa.

“SJR juga didirikan di pusat pemeriksaan Gohtong Jaya – Batang Kali di hadapan pusat pemeriksaan Genting Highlands kedua-dua arah; KM34 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh (Serendah) di hadapan Balai Polis Serendah; dan Plaza Tol Sungai Buaya kedua-dua arah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan pula memaklumkan SJR diadakan di hadapan Balai Polis Beranang, Jalan Broga, Plaza Tol Eco Majestic, susur keluar Plaza Tol Bandar Seri Putra, susur keluar Plaza Tol Bangi, susur keluar Plaza Tol Kajang dan Lebuh Raya Besraya berhampiran Minlon.

“Kita turut membuat penutupan kekal (24 jam) di Jalan Genting Peras dan Jalan Bangi – Nilai,” katanya.

Di Ampang Jaya, tiga SJR dijalankan, iaitu di laluan berhampiran Apartmen Desa 288; Jalan Pandan Indah – Cheras dari arah Lebuh Raya Sungai Besi ke Ampang; dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran stesen minyak PETRONAS Klang Gates dari arah Gombak ke Ampang.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button