InspirasiKerohanianSirahSyariah

Sejarah ibadah korban

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Setiap ibadah dalam Islam ada sejarahnya yang tersendiri. Ini termasuklah ibadah korban. Ibadah korban yang kita laksanakan pada hari ini, berkisah daripada sejarah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Ketika itu, Nabi Ibrahim sudah berusia 86 tahun, namun baginda masih belum memiliki zuriat dengan isterinya, Sarah. Sedangkan baginda sangat teringin memiliki cahaya mata. Melihat keadaan itu, Sarah meminta dan mengizinkan baginda menikahi Siti Hajar seorang puteri raja Mesir sebagai usaha bagi memberikan cahaya mata kepada suaminya. Selain itu, Nabi Ibrahim juga tidak pernah jemu berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat.

“Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang soleh,” (Ash-Shafaat [37]:100) 

Akhirnya, doa Nabi Ibrahim dimakbulkan dan, lahirlah Nabi Ismail. Seorang anak yang sangat taat, dan elok kelakuannya. Sememang anak yang menyejukkan hati ayah dan ibu.

Pengorbanan Sarah yang sanggup mengizinkan Nabi Ibrahim berkahwin dengan Siti Hajar, akhirnya terbalas apabila beliau pula mengandung dan melahirkan anak kedua Nabi Ibrahim, iaitu Nabi Ishak. Ketika itu umur Nabi Ibrahim sudah mencecah 100 tahun.

Nabi Ibrahim pula sentiasa melaksanakan korban haiwan ternakan dalam jumlah yang besar. Biasanya 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Amalan baginda ini sentiasa menjadi pujian para malaikat.

Malah sebelum kelahiran Nabi Ismail, Nabi Ibrahim pernah berkata,

“Semua yang menjadi korbanku itu belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah SWT.”

Kita akan diuji dengan apa yang kita kata. Nabi juga tidak terlepas dengan perkara itu. Suatu malam, (8 Zulhijjah) Nabi Ibrahim telah bermimpi, datang perintah Allah supaya baginda mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail.

“Wahai Ibrahim tunaikanlah nazarmu.”

Nabi Ibrahim masih ragu-ragu. Tidak pasti mimpi itu adalah perintah Allah yang asli ataupun mimpi mainan iblis. Oleh kerana belum pasti, hari kejadian itu ia dinamakan hari ‘tarwiyah’ yang bermaksud ‘fikir’ dalam bahasa Arab.

Pada hari kedua dan ketiga, Nabi Ibrahim masih didatangi mimpi yang sama. Pada hari kedua mimpi (9 Zulhijjah), Nabi Ibrahim pasti mimpi itu datang daripada Allah. Lalu ia digelar hari ‘Arafah’ yang bermaksud pasti.

Pada hari ketiga (10 Zulhijjah) pula, Nabi Ibrahim yakin perintah dalam mimpi itu meminta baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail, lalu ia digelar hari ‘Nahrun’ yang bermaksud ‘sembelih’.

Selepas yakin bahawa mimpi itu memang perintah Allah, Nabi Ibrahim memberitahu Nabi Ismail akan mimpi itu. Ketika itu Nabi Ismail berusia tujuh tahun, dan ada juga ulama mengatakan umurnya 13 tahun. Sebagai anak yang taat kepada ibu bapa, Nabi Ismail tidak menolak dan tidak membantah, malah baginda terus bersetuju.

Ketika itulah iblis menghasut Nabi Ibrahim supaya menolak perintah itu, tetapi tidak dihiraukan oleh baginda. Selepas gagal menghasut Nabi Ibrahim, iblis cuba pula menghasut Siti Hajar, namun tetap gagal. Iblis masih tidak berputus asa dan menghasut pula Nabi Ismail, juga gagal kerana baginda seorang anak yang taat kepada ayah dan ibunya.

Waktu itulah, Nabi Ibrahim dan Siti Hajar melontar batu ke arah iblis dan mencederakan mata iblis yang dilaknat itu sehingga ia pergi dari situ.

Kemudian tibalah saat yang mendebarkan untuk Nabi Ibrahim dan keluarga baginda. Nabi Ismail dibaringkan dengan muka menghadap ke tanah, kemudiannya dengan pisau yang tajam baginda melalukan mata pisau itu ke leher Nabi Ismail. Namun pisau itu gagal menyembelih Nabi Ismail. Baginda mencuba lagi, tetapi tetap gagal.

Dengan izin Allah, jangankan mahu menyembelih, luka pun tidak nampak pada leher Nabi Ismail walaupun pisau Nabi Ibrahim itu sangat tajam.

Allah SWT kemudian berfirman:

“Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang yang berbuat baik.”

Malaikat Jibril kemudiaanya muncul bersama seekor kibas sebagai pengganti  Nabi Ismail.

Firman Allah:

“Dan Kami tebus anaknya dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. (As Shaffaat:37:107)

Begitulah serba sedikit sejarah ibadah korban. Yang bermula dengan pengorbanan yang sejati, anak kepada ayahnya, ayah kepada anaknya. Bayangkan sahaja, anak yang disayangi, anak yang baik budi pekertinya minta dikorbankan. Semuanya itu demi mendapatkan keredhaan Allah. Betapa tingginya nilai iman dan pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Bagaimana pula dengan keadaan kita pada hari ini? Sudahkah kita bersedia untuk berkorban demi memperoleh keredhaan Ilahi?


Mari melaksanakan ibadah korban bersama MAPIM Malaysia.
Mengapa MAPIM Malaysia?
✅ Haiwan ternak yang berkualiti dan terpilih.
✅ Antara harga termurah dipasaran
✅ Reputasi MAPIM yang dipercayai.
✅ Memudahkan urusan anda dari mula sampai akhir.
Ibadah korban adalah Sunat Muakkad iaitu sunat yang DI TUNTUT bagi umat Islam mengerjakannya.
Insyaallah ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar yang berlipat ganda dari Allah SWT.
“Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.”
(HR. Ahmad dan Ibnu Majah].
Bersama saudara budiman untuk sertai ibadah korban dan maklumat lanjut, layari : www.ibadahqurban.com
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini

 

Related Articles

Back to top button