Semasa

Saya kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal – keluh PM

Perdana Menteri mendapati majikan masih menawarkan pendapatan di bawah paras gaji minimum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluahkan rasa kecewa apabila mendapati segelintir majikan menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan skop kerja yang perlu dilakukan oleh rakyat tempatan.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius perkara ini, kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi di mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan,” tegas Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Isnin.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menggesa Kementerian Sumber Manusia berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja, bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.

Malah, katanya, platform ‘tripartite‘ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru, bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengingatkan majikan bahawa gaji minimum kini ditetapkan pada kadar RM1,500, berkuat kuasa sejak 1 Mei lepas.

Jelas beliau, kerajaan sedang giat membangunkan ‘talent pool’ yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi namun terdapat majikan masih menawarkan pendapatan di bawah paras gaji minimum.

Sehingga Julai ini, berdasarkan statistik MYFutureJobs, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

Penganjuran program Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 kali ini menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 1,000 majikan daripada pelbagai sektor.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button