Covid19Kerohanian

Sabah benarkan masjid, surau solat

Aktiviti surau tidak lebih satu jam

KOTA KINABALU : Sabah membenarkan semula masjid dan surau di seluruh negeri ini termasuk di zon merah mengadakan semua jenis aktiviti keagamaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu selaras kelonggaran diberikan kerajaan dalam SOP baharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula kelmarin hingga 20 Disember ini.

“Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Mufti Negeri Sabah untuk membenarkan aktiviti di masjid dan surau ketika PKPB berkuat kuasa mulai 7 Disember hingga 20 Disember ini,”

Katanya, bagi solat lima waktu secara berjemaah, bilangan jemaah dibenarkan di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau.

Bagi solat Jumaat, katanya bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

“Aktiviti atau program masjid dan surau dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya.

“Aktiviti kelas agama juga dibenar diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya.

Sebelum ini, hanya solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan di seluruh negeri dengan kapasiti terhad sehingga 40 jemaah bagi zon merah.

Datuk Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata majlis akad nikah juga dibenarkan semula diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP ditetapkan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button