Covid19Semasa

`Roll out’ pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu diberi vaksin secara percuma

PETALING JAYA :  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan akan

memulakan “roll-out” pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini.

Program itu menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin Covid-19 yang akan diberikan secara percuma.

“Vaksin Covid-19 antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19. Kerajaan telah berjaya menempah vaksin Covid-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin ini dijadualkan tiba pada bulan ini.”

“Penghantaran pertama vaksin Covid-19 melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang menunjukkan kadar keberkesanaan tinggi iaitu pada tahap 95 peratus,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Tan Sri Muhyiddin berkata, fasa pertama program itu yang dijadualkan berlangsung sehingga April 2021 melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan, manakala fasa kedua sehingga Ogos melibatkan 9.4 juta golongan rentan.

Kata beliau, bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022.

Jelas beliau, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

“Peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh kerajaan untuk mengambilalih secara sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan yang lain,” katanya. – kosmo

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button