Dunia

Rogol berkali-kali, paksa makan pil perancang – ketua kultus dipenjara 1,075 tahun

Pelbagai kesalahan jenayah seksual, penipuan & pengintipan

ISTANBUL :  Seorang pendakwah selebriti dan ketua kultus di Turki disumbat ke penjara 1,075  tahun atas pelbagai kesalahan jenayah seksual.

Adnan Oktar – sering muncul di kaca televisyen diperintahkan meringkuk di penjara lebih seribu tahun selepas didapati bersalah terlibat dalam pelbagai kes terutamanya melibatkan jenayah seksual.

Dia mula ditahan pada Jun tahun 2018 sebagai sebahagian daripada tindakan keras kumpulannya oleh unit jenayah kewangan polis Istanbul.

Antara kesalahan jenayah seksual yang dilakukannya ialah serangan seksual, penderaan seksual di bawah umur, penipuan dan percubaan pengintipan politik dan ketenteraan.

Menurut siaran televisyen swasta, NTV, suspek berusia 64 tahun itu juga dikatakan dikelilingi dengan wanita berpakaian seksi dengan menggelar mereka sebagai ‘anak kucing’ selain mengarahkan para wanita berkenaan menari di hadapannya sambil memasang alunan muzik.

Agensi Anadolu memetik, kira-kira 236 suspek telah diadili dalam kes itu, 78 di antaranya ditangkap.

Perbicaraan itu memaparkan perincian mengerikan dan tuduhan jenayah seks yang menakutkan.

Memetik dailysabah.com, mahkamah menyediakan 499 helaian muka kertas pendakwaan ke atasnya.

Oktar memberitahu ketua hakim bahawa dia mempunyai hampir 1,000 teman wanita.

“Terdapat limpahan cinta di hati saya untuk wanita. Cinta adalah kualiti manusia,” katanya dalam sesi pendengaran lain pada bulan Oktober di mahkamah.

Seorang yang tercicir daripada pembelajaran, Oktar pertama kali mendapat perhatian umum pada tahun 1990-an ketika dia menjadi pemimpin mazhab yang terjebak dalam pelbagai skandal seks.

Saluran televisyen dalam taliannya, A9 mula disiarkan pada tahun 2011, dengan mengecam pemimpin agama Turki.

Seorang wanita tampil ketika perbicaraan di mahkamah dikenali hanya dengan nama CC.

CC, memberitahu mahkamah bahawa Oktar telah berulang kali melakukan penderaan seksual kepadanya dan wanita lain.

Beberapa wanita yang diperkosanya pula dipaksa mengambil pil kontraseptif, kata CC kepada mahkamah.

Ditanya mengenai kira-kira 69,000 pil kontraseptif yang dijumpai di rumahnya oleh polis, Oktar mengatakan bahawa ia digunakan untuk merawat masalah kulit dan haid tidak teratur.

Dia juga menolak sebarang kaitan dengan kumpulan yang diketuai oleh pendakwah Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, yang dituduh oleh pihak berkuasa Turki melakukan percubaan rampasan kuasa pada tahun 2016.

Oktar adalah pencipta yang menolak teori evolusi Darwin dan telah menulis buku setebal 770 halaman berjudul ‘The Atlas of Creation’ dengan nama pena, Harun Yahya.

Seorang mangsa turut tampil memberi keterangan dan mendakwa dirinya telah dirogol berkali-kali oleh suspek.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button