KesihatanSemasa

Kes kedua jangkitan Rabies dikesan di Selangor

SHAH ALAM : Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun di daerah Kuala Langat didapati dijangkiti penyakit Rabies.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman memaklumkan ia sekali gus menjadikan dua jangkitan Rabies dicatat negeri ini dan telah disahkan pada 22 April lalu.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu warga emas tersebut dirujuk ke Klinik Kesihatan Telong Panglima berikutan mengalami masalah anemia.

“Pemeriksaan mendapati beliau mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan lalu. Sejak dua minggu lalu juga, beliau turut mengadu sakit kepala dan hilang selera makan.

“Beliau mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey, dua bulan lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS).

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa mendapati tingkah laku warga emas itu berubah daripada seorang yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri sebelum ini.

Dr Sha’ari berkata, pada 22 April lalu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengambil sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsy nuchal mangsa sebelum disahkan positif Rabies.

Beliau berkata, warga emas itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad isolasi HTAR.

JKNS pada 10 April lalu memberitahu, terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan Rabies pada 4 April.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button